
KOTA BHARU: Semua Ahli Parlimen (MP) pembangkang akan mengadakan perbincangan minggu depan berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) yang diterima daripada kerajaan Pusat.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, antara isu penting dalam pertemuan yang dijangka berlangsung pada 9 September ini ialah syarat draf MoU itu.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci butiran syarat melalui draf yang diterima pada 6 Ogos lalu kerana berstatus rahsia.
Tambahnya, apa yang boleh dibayangkan, draf berkenaan terdapat banyak unsur mengenakan syarat tertentu sebelum kerajaan membuat keputusan untuk meluluskan peruntukan.
Beliau berkata demikian pada media pada sidang media di sini petang tadi.
“Keputusan mungkin akan dibuat selepas perbincangan berkenaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
“Kita akan mendapatkan semua pendapat Ahli Parlimen PN sebelum membuat keputusan dan ada wakil yang akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tiada sebarang syarat dikenakan tetapi hanya membabitkan perbincangan.
Takiyuddin bagaimanapun berkata, boleh dikatakan kesemua syarat yang digariskan yang dinamakan ‘tujuh prinsip kehidupan awam’ dan MoU boleh terbatal jika wakil rakyat PN melanggar syarat yang digariskan.
Semalam menerusi laporan media, Takiyuddin memaklumkan tujuh syarat disenaraikan melalui draf MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang perlu dipenuhi ahli Parlimen bagi membolehkan mereka diberi peruntukan.
Antara syarat terbabit ialah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen ke-15 serta perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R). – HARAKAHDAILY 3/9/2024











