KJ, Syed Saddiq akan sertai Kota Bharu Half Marathon

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dua bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara yang bakal  menyertai acara larian Kota Bharu Half Marathon (KBHM), Sabtu ini.

- Advertisement -

Penasihat KBHM, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua mereka bakal bertarung bersama lebih 1,100 peserta bagi kategori 21.1 kilometer (km).

Menurutnya, kedua-dua bekas Menteri itu telah menyatakan persetujuan untuk menyertai acara berkenaan yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.

Jelasnya, dua lagi kategori larian ialah 10km dan 5km yang dianjurkan Yayasan KB Care di mana kali terakhir dilaksana acara itu ialah tujuh tahun lalu, namun kini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, seramai 2,055 peserta dari seluruh negara sudah mendaftar untuk menyertai larian anjuran Yayasan KB Care,” katanya ketika sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini petang ini.

Menurutnya, lebih daripada separuh peserta menyertai marathon 21.1 km di mana Parlimen Kota Bharu itu turut memberitahu, penganjur menyediakan hadiah wang tunai sehingga RM2,000 selain medal dan sijil penyertaan.

Jelasnya, penganjur memilih laluan di kawasan bersejarah di bandar ini termasuk jalan sekitar Kota Darulnaim, kilang mancis dan Masjid Muhammadi sebelum berakhir di Padang Perdana.

“Acara bermula jam 4 pagi dan kita berharap semua peserta dapat menjaga kesihatan dan menamatkan larian mereka bagi membolehkan mereka menerima medal yang disediakan,” katanya.

Tambah Takiyuddin, turut memeriahkan acara berkenaan ialah sepak takraw dengan pakaian tradisional, dikir barat serta senaman pagi.

Takiyuddin turut memaklumkan, beberapa tokoh atlet marathon yang masyhur turut diundang bagi memeriahkan acara akan diadakan pada 7 September ini.

Katanya, peserta yang menyertai larian 21.1km dan 10km akan mendapat sijil. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -