Refleksi kemerdekaan Malaysia dan isu Palestin

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 menyeru rakyat Malaysia untuk merenung nasib saudara seagama di Palestin ketika meraikan kemerdekaan negara.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa isu Palestin bukan sekadar isu agama, tetapi juga isu kemanusiaan yang perlu difahami dan dihayati oleh semua.

“Perjuangan mereka untuk mendapatkan kebebasan daripada penindasan mengingatkan kita tentang betapa berharganya kemerdekaan yang kita miliki,” ujarnya.

Mohd Shukri turut menyeru agar rakyat Malaysia terus menyokong dan bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin dalam mencari keamanan dan keadilan.

Beliau menekankan bahawa perjuangan untuk kemerdekaan bukan hanya mengenai kebebasan fizikal, tetapi juga kebebasan minda dan jiwa.

“Islam mengajarkan kita untuk memperjuangkan keadilan dan membantu mereka yang tertindas,” katanya lagi.

Beliau merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 104, yang menyeru umat Islam untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Rakyat juga diingatkan agar sentiasa menghargai kemerdekaan yang dimiliki dan melihatnya sebagai perjalanan berterusan.

“Marilah kita terus bersatu padu, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain, demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang,” tambahnya.

Beliau menutup ucapannya dengan mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan yang ke-67 tahun dan mendoakan agar Malaysia, termasuklah Negeri Perlis, terus maju, aman dan sejahtera.

Sebagai penutup, beliau menyampaikan serangkap pantun:

Kota Gapura Utara diberi nama,
Negeri Perlis damai dan menawan,
Perpaduan tanggungjawab kita bersama,
Hargai kemerdekaan perjuangan pahlawan.HARAKAHDAILY 31/8/2024

- Advertisement -