
KANGAR: Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Perlis Tahun 2024 yang penuh meriah dengan penyertaan 2,600 ahli kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah diraikan oleh lebih 45,000 rakyat Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini malam tadi.
Salah satu acara yang paling dinantikan adalah perarakan dua ekor gajah mengiringi atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis yang memenangi pingat emas di SUKMA XXI Sarawak, baru-baru ini.
Persembahan unik ini mencuri tumpuan dan menambahkan warna tersendiri kepada sambutan kali ini.
Majlis bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ menggambarkan kesepaduan holistik sebuah negara maju dan progresif, dinaungi oleh rakyat berbilang kaum yang bersatu hati dan teguh jati dirinya.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan menyempurnakan majlis ini bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat adalah anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama dalam majlis ini adalah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Che Murad Sayang Ramjan serta para pimpinan negeri dan Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik, termasuk tarian dan nyanyian pelajar sekolah, penampilan khas artis terkenal, persembahan brass band oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, serta persembahan koir dan pantomim kemerdekaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pertunjukan kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan perbarisan melibatkan 66 kontinjen turut menambah seri majlis.
Sambutan diakhiri dengan laungan Ambang Merdeka serta upacara menaikkan Jalur Gemilang, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku tepat jam 12:00 tengah malam, menandakan kemuncak semangat patriotisme rakyat Perlis yang hadir beramai-ramai. – HARAKAHDAILY 31/8/2024












