
ALOR SETAR: Walaupun sudah menjangkau kali ke-67, gema laungan Merdeka terus dilaungkan setiap kali menjelang 31 Ogos tanpa berkurang kemeriahannya setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin menukilkan demikian tatkala tarikh keramat, 31 Ogos muncul lagi.
“Gemanya menggetar jiwa, menggegar rasa dan menyentuh hati setiap yang memahami erti dan maksudnya yang sebenar. Kegembiraan yang sukar diungkap, dalam semangat yang meluap-luap.
“Tetapi jangan sekali-kali kita lupa untuk berpaling seketika pada masa lampau, saat di mana para pejuang bergelut untuk memerdekakan tanah air tercinta ini,” kata beliau.
Wajar diingat kembali ujarnya, walau siapapun mereka, sama ada ahli politik, para ulama, pengarang, wartawan, guru, anggota keselamatan, peniaga, peladang, nelayan.
Malah katanya, kaum ibu dan suri rumah dan sesiapa jua yang berjuang untuk watan, adalah insan istimewa serta besar jasanya.
Bukan sahaja jasa mereka menurutnya perlu dikenang, sebaliknya pengorbanan yang telah meletakkan rakyat Malaysia pada mercu kegembiraan dan kebanggaan, wajib dihargai.
“Pejuang kemerdekaan ini ibarat bintang-bintang yang bersinar dalam kegelapan, pembawa obor menerangi jalan menuju kebebasan.
Setiap butir pasir dan tanah di bumi merdeka yang kita pijak ini dan setiap hembusan udara yang kita hela sekarang, adalah hasil dari keazaman, keberanian dan kesungguhan mereka terdahulu,” tambah beliau.
Justeru serunya, setiap warga Malaysia yang sayangkan nikmat kemerdekaan ini, perlu semarakkan lagi semangat rasa cinta, kasih dan bangga kepada bumi bertuah.
Malah katanya, bisikkan kepada diri sendiri bahawa merdeka bukanlah sekadar perkataan atau angka di kalendar, tetapi sebuah pengertian yang mendalam mengenai perpaduan.
“(Juga) toleransi hormat-menghormati antara semua serta merupakan hadiah yang harus dipelihara dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.
“Dalam menghadapi cabaran dan dugaan pada zaman ini, kita harus sentiasa ingat bahawa kemerdekaan memerlukan usaha dan pengorbanan berterusan.
“Kepada generasi muda, marilah kita warisi dan sematkan dalam jiwa nilai-nilai murni, supaya kemerdekaan yang kita nikmati ini kekal menjadi milik bersama.
“Jangan biarkan kemerdekaan ini menjadi hanya sekadar kenangan, tetapi jadikanlah ia sebagai panduan untuk mencapai kejayaan dan kesejahteraan yang berterusan,” kata ADUN Kubang Rotan itu lagi.
Oleh itu beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, agar bersama-sama merayakan ulang tahun kemerdekaan kali ke 67 ini dengan penuh rasa syukur dan tekad untuk bangunkan negara ini dengan semangat kebersamaan.
Di samping rasa penuh dedikasi, agar kemerdekaan yang telah diperjuangkan ini terus bersinar, menjadi simbol harapan dan kejayaan untuk generasi yang akan datang. – HARAKAHDAILY 31/8/2024











