
ALOR SETAR: Saban tahun, kemerdekaan disambut dan diraikan, namun makna kemerdekaan sebenar tidak ramai yang mengetahui, oleh itu perlu bertanya kepada diri sendiri, makna kemerdekaan sebenar-benarnya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan demikian pada perutusan ulang tahun Hari Kemerdekaan kali ke 67 yang diraikan setiap tahun pada 31 Ogos.
“Kemerdekaan bukan sekadar retorik atau semata-mata pengkisahan semula peristiwa yang pernah ada dalam lembaran sejarah. Kemerdekaan juga bukan semata-mata membawa maksud bebas daripada penjajahan.
“Namun untuk mencapai tahap ‘Jiwa Merdeka’ yang seharusnya ada dalam diri setiap warganegara, makna kemerdekaan bukan sekadar perlu difahami malah dihayati,” kata beliau.
Sesuai dengan sambutan kali ke 67 ini ujarnya, rakyat yang berjiwa merdeka perlu menentukan pimpinan negara juga mempunyai jiwa yang merdeka.
Kemerdekaan sebenar tegas beliau, ialah merdeka jiwa dan minda dengan kesedaran tinggi untuk memiliki jati diri kukuh serta teguh, di samping mempertahankan prinsip demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Keutuhan jati diri ini haruslah menerusi empat teras iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa. Jika tidak, sia-sialah kita melaung merdeka dan mengibarkan Jalur Gemilang sedangkan diri kita terus dijajah tanpa sedar,” tambahnya.
Kata beliau lagi, pemimpin yang menerajui serta mentadbir negeri mahupun negara, juga mestilah dari kalangan pemimpin berjiwa merdeka.
Pemimpin berjiwa merdeka ujarnya, sukar untuk tunduk kepada sebarang kuasa asing selain sentiasa memastikan setiap sendi serta undang-undang teguh dan hak warganya sentiasa dilindungi.
“Alhamdulillah, tahun ini Kedah raikan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan kali yang 67 dengan tema ‘Jiwa Merdeka’. Justeru kerajaan negeri yang ada kini akan berusaha memastikan rakyat sentiasa berasa selamat.
“Dan terjamin selama hidup di tanah air tanpa sebarang keraguan daripada segala bentuk ancaman terutama yang berkaitan dengan hak dan kebebasan” kata beliau lagi.
Oleh itu beliau mengajak bersama-samalah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 67 tahun ini dengan hati dan jiwa yang penuh rasa merdeka sebenarnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2024











