
KOTA BHARU: Pendakwah, Ustazah Asmak Husin mengingatkan netizen supaya berhati-hati sebelum membuat sebarang reaksi berhubung gambar berbentuk sindiran ‘Welcome to Afganu’ yang dimuat naik seorang individu beberapa hari lalu.
Beliau juga turut mengingatkan orang ramai supaya jangan ‘cepat jari’ bertindak daripada berfikir, kerana perbuatan berkenaan boleh menjatuhkan akidah seseorang.
“Kita wanita sudah lama berjuang supaya sukan patuh syariah diadakan agar wanita lebih selesa dan selamat apabila menyertai acara sukan.
“Sebab itu kita nampak revolusi pakaian wanita muslimah kini sudah mula berubah dalam olimpik dan sukan berprestij, memandangkan ianya mampu dibuat perubahan ke arah itu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berpendapat, kaum wanita boleh menyertai pertandingan sukan di peringkat dunia sekalipun asalkan ia menepati syariat.
Tegasnya, untuk apa sebenarnya bersukan tetapi wanita perlu ‘dipertontonkan’ dengan pakaian mendedahkan aurat, sedangkan ianya boleh diubah menjadi lebih baik mengikut syariat.
“Saya nampak begini, kalau sesiapa yang ada idea yang terbaik boleh juga kemukakan. Kita ni kena sesuaikan dengan syariat, bukan syariat kena sesuaikan dengan kita,” katanya.
Beliau diminta mengulas satu hantaran dipercayai merujuk penyertaan dua penerjun wanita yang mewakili Terengganu tanpa pengetahuan kerajaan negeri itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang baru sahaja berakhir.
Hantaran itu dibuat seseorang menggunakan nama ‘Ryan Azzaro’, memaparkan seorang wanita yang mengenakan burqa berwarna hitam sedang melakukan aksi terjun papan anjal diiringi kata-kata “Welcome to Afganu”.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis berhubung hantaran berkenaan yang dianggap mempersendakan pakaian yang menjadi syariat wanita Muslim.
Laporan polis itu diketuai Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira jam 2:30 petang pada Khamis. – HARAKAHDAILY 31/8/2024











