
KUALA LUMPUR: Seluruh warga Semenyih diseru untuk terus mempertahankan kemerdekaan yang diwariskan oleh generasi terdahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz mengingatkan bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan nenek moyang yang telah mempertahankan maruah dan kedaulatan tanah air dengan keringat, air mata dan darah.
“Mereka berkorban segalanya demi menjamin masa depan kita yang lebih baik, merdeka, dan bebas daripada cengkaman penjajah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kemerdekaan bukan hanya sekadar sejarah, tetapi ia merupakan amanah yang perlu dipelihara oleh generasi kini.
Beliau yang juga menyeru setiap individu untuk memainkan peranan masing-masing dalam menghidupkan semangat kemerdekaan, sama ada sebagai ibu bapa, guru, belia, pekerja, atau pemimpin.
Menurutnua, mempertahankan kemerdekaan memerlukan pengorbanan bukan sahaja dalam bentuk tenaga dan masa, tetapi juga dalam usaha untuk menyatukan hati dan fikiran, menolak perpecahan, serta mengutamakan kepentingan bersama melebihi kepentingan peribadi.
“Kita mesti memupuk nilai-nilai murni dalam diri kita, anak-anak kita, dan masyarakat agar semangat merdeka terus berkobar-kobar dalam jiwa generasi yang akan datang,” ujarnya yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.
Selain itu, Ustaz Nushi menekankan kepentingan ilmu sebagai kunci utama untuk mengisi kemerdekaan dengan makna yang sebenar.
“Kemerdekaan menuntut bangsa yang berilmu dan berwawasan untuk memajukan diri dan negara, serta mempertahankan kedaulatan daripada ancaman baharu seperti penjajahan minda, ekonomi, atau budaya,” katanya.
Beliau juga menggesa masyarakat untuk memahami sejarah yang sebenar dan tidak terpengaruh dengan penulisan yang diubah atau diselewengkan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu.
“Sejarah yang tidak diputarbelitkan adalah asas kepada fahaman kita tentang erti sebenar kemerdekaan dan perjuangan nenek moyang kita,” tegasnya.
“Marilah kita bersatu hati untuk membina sebuah negara yang lebih baik, aman, dan harmoni, demi Malaysia yang tercinta,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024











