
KOTA BHARU: Pasukan sepak takraw, Kelantan Warriors telah mencapai sasaran untuk layak ke Liga Premier Sepak Takraw League (STL) 2024 susulan pasukan itu berjaya layak ke perlawanan akhir liga divisyen satu STL 2024.
Skuad Kelantan Warriors layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Melaka Titans di separuh akhir dengan keputusan 2- 1 (12-15, 15-9 dan 15-13) pada perlawanan pagi tadi.
Dua pasukan yang berjaya ke perlawanan akhir dalam liga divisyen ini, satu akan layak untuk beraksi di Liga Premier STL 2024 yang akan berlangsung tahun ini.
Kelantan Warriors bertemu sekali lagi dengan Selangor Pistons di perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, Melaka malam ini.
Dalam perlawanan peringkat kumpulan D sebelum ini, Kelantan Warriors telah menumpaskan Selangor Pistons dengan keputusan 2-1 (15-9, 8-15 dan 15-6).
Pengurus pasukan Kelantan Warriors, Wan Hassan Wan Ibrahim menaruh keyakinan pasukan Kelantan Warriors untuk muncul sebagai juara.
Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan permainan yang mantap dan bersemangat ditunjukkan oleh para permain.
“Alhamdulillah kita layak ke perlawanan akhir dan insya-Allah pasukan Kelantan Warriors mampu untuk muncul sebagai pemenang dalam perlawanan akhir malam ini memandangkan permainan mantap dan bersemangat yang ditunjukan oleh para pemain.
“Lagipun kita pernah menewaskan pasukan lawan iaitu Selangor Piston di peringkat kumpulan sebelum ini,” katanya sejurus selepas tamat perlawanan separuh akhir bertemu Melaka Titans pagi tadi.
Sebelum ini, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad dalam sidang media dan majlis memperkenalkan pemain telah meletakkan sasaran pasukan sepak takraw Kelantan Warriors layak ke liga primier STL 2024 tahun ini.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, mengucapkan tahniah kepada skuad Kelantan Warriors di atas kejayaan itu.
“Alhamdulillah Kelantan Warriors dapat ke final,” katanya pada catatan facebooknya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024











