Skim Subsidi Baja Padi diperkenal sejak 1995

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperkenalkan Skim Subsidi Baja Padi bermula pada tahun 1995 bagi membantu pesawah di Kelantan meningkatkan pengeluaran padi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan itu sekarang dikenali sebagai Bantuan Baja Foliar.

- Advertisement -

Katanya perubahan itu seiring dengan kemajuan teknologi pertanian yang melibatkan perubahan jenis baja yang dibekalkan kepada pesawah.

“Program bantuan baja itu melalui beberapa penambahbaikan selepas bermula dengan baja campuran dan urea dan kini ditingkatkan kepada baja penggalak padi dan perawat tanah.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keberkesanan program tersebut dalam meningkatkan hasil padi dan taraf hidup pesawah,” katanya pada perasmian Program Bantuan Baja Penggalak Padi (Foliar) Peringkat Negeri 2024 di Dewan Pusat Khidmat Dun Melor semalam.

Hadir sama ADUN Melor Wan Rohimi Wan Daud. Pada program itu 135 petani menerima bantuan input pertanian.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, program itu akan menjadi pemangkin bagi  mencapai matlamat meningkatan hasil padi di Kelantan.

Kelantan mengeluarkan baja subsidi padi sejak awal 1990-an ekoran baja cap dacing yang dibekalkan agensi kerajaan Pusat tidak diberi kepada pesawah bukan penyokong Umno.

Isu tersebut geger ketika itu sehingga ramai pesawah yang menyokong PAS sukar mendapat sokongan Penyelia Pembangunan Mukim (Umno) untuk memohon baja subsidi padi cap dacing. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -