
KOTA BHARU: Berbeza berbanding pembangkang di Dewan Rakyat, di mana sehingga sekarang belum mendapat peruntukan daripada kerajaan Madani, sedangkan pembangkang di DUN Kelantan tidak diketepikan.
Setiap ADUN di Kelantan mendapat peruntukan Rancangan Kecil Pembangunan termasuk ADUN baharu mewakili DUN Nenggiri.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, peruntukan berkenaan diberi sama rata kepada semua ADUN termasuk daripada pembangkang.
Begitu juga katanya ADUN, Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan turut diberi peruntukan.
“Bagaimanapun memandangkan sekarang sudah akhir Ogos, namun kita tetap beri peruntukan.
“Kita perlu tengok tempoh pelantikan sebagai ADUN Nenggiri tetapi asasnya ia tidak akan lari daripada peruntukan tahunan,” katanya selepas merasmikan Hari Iqra’ dan Pesta Buku Darul Naim 2024 di sini petang semalam.
Mohd Nassuruddin juga berkata, Mohd Azmawi Fikri dijangka mengangkat sumpah sebagai ADUN Nenggiri pada persidangan DUN Kelantan yang dijadualkan pada Oktober ini.
Pada 17 Ogos lalu, Mohd Azmawi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri dalam pertandingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail. – HARAKAHDAILY 29/8/2024











