Pencemaran bau di Sungai Balok, ADUN gesa tindakan tegas

- Advertisement -

KUANTAN: Penjenayah alam sekitar perlu dikesan dan diambil tindakan yang berat, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu.

Ini, katanya kerana tindakan mereka sangat tidak bertanggungjawab dan menyusahkan masyarakat.

Beliau menyatakan demikian susulan menerima aduan berkaitan pencemaran bau di sekitar Sungai Balok dua hari lalu.

- Advertisement -

Sejak itu, ujarnya beliau berhubung dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenal pasti punca.

“Saya difahamkan, selain pencemaran bau, ia turut menjejaskan hidupan air.

“Ikan-ikan didakwa mati di beberapa lokasi sepanjang Sungai Balok,” ujarnya menerusi catatan di laman sosialnya, hari ini.

Menurutnya, malam tadi beliau dimaklumkan pencemaran berpunca daripada pembuangan bahan tertentu di alur sungai berhampiran perumahan baharu Taman Balok Baru.

Tambahnya, tengah hari tadi beliau ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut. (Foto atas)

Katanya, pihak JAS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sudah berada di lokasi bagi mengesan kandungan bahan serta tahap kebahayaannya.

Beliau berkata, laporan awal mendapati ia tidak berisiko tinggi namun perlu dikawal supaya tidak membawa kesan berpanjangan.

“Penduduk sekitar mendakwa bau pencemaran tersebut sangat kuat dan mengganggu khususnya pada dua malam lepas.

“Berdasarkan pengalaman saya, bau tersebut merupakan bahan enap cemar atau sisa industri dan bukan bahan kimia tulen,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak JAS akan melaksanakan kerja-kerja membersihkan bahan pencemaran berkenaan melalui kontraktor berlesen.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak JAS bagi mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menambah, berdasarkan petunjuk di lokasi, bahan berkenaan berkemungkinan besar dibawa dengan sebuah lori dan dibuang ke sungai menggunakan salur.

“Mana-mana pihak khususnya orang awam boleh salurkan terus kepada pihak JAS atau pihak saya jika mempunyai sebarang maklumat atau petunjuk yang berkaitan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -