Anak muda pilih politik berasaskan idea dan gagasan

- Advertisement -

KANGAR: Politik yang berlandaskan idea dan gagasan lebih mendapat tempat di hati anak muda, demikian menurut Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun.

- Advertisement -

Katanya, Futsal Perpaduan 2.0 anjuran Persatuan Wartawan Perlis (PWP) malam tadi berjaya menggabungkan sayap pemuda dalam parti politik di negeri Perlis.

Program disertai Dewan Pemuda PAS, Pergerakan Pemuda Umno, Angkatan Muda Keadilan, Armada BERSATU dan Pemuda PAN itu berlangsung di Futsal Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini malam tadi.

Justeru, beliau yang juga ADUN Beseri menegaskan pentingnya politik yang matang dan sejahtera, di mana parti-parti politik dapat bersatu meskipun memiliki ideologi berbeza.

“Politik yang matang adalah politik di mana kita boleh duduk bersama, mengutamakan perpaduan demi kepentingan agama, bangsa, dan negara,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PWP serta semua pihak terlibat, terutama para pemuda yang berjaya membawa pasukan mereka dalam acara tersebut.

“Ini adalah politik baru yang diingini oleh anak muda, politik yang berteraskan idea dan gagasan, bukan politik kebencian,” tambahnya.

Haziq turut menekankan bahawa generasi muda ingin melihat tindakan dan hasil kerja nyata.

“Politik digerakkan pada masa yang sesuai dan yang penting adalah menunjukkan kerja yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -