Kezaliman: Setuju pun salah, apatah bersekongkol

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Umat Islam dilarang walaupun sekadar cenderung atau bersetuju dengan kezaliman mahupun orang yang zalim, maka tindakan bersekongkol dengan perkara itu pula adalah lebih-lebih lagi dilarang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Ulamak PAS (DUPN) Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, ia berdasarkan Surah Hud ayat 113 yang menegaskan larangan Allah SWT itu.

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak akan diberi pertolongan”.

“Ayat di atas merupakan sebahagian daripada dalil yang menunjukkan larangan Allah SWT daripada bersekongkol dalam melakukan kezaliman dan kemungkaran. Bersekongkol dengan orang yang zalim akan membuka ruang kepadanya untuk terus melakukan kezaliman.

“Jalan yang membawa kepada kezaliman dan kemungkaran hendaklah ditutup kerana ianya akan mengakibat kemurkaan Allah SWT kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman _Facebook_ rasmi Dewan itu sebentar tadi.

Kata beliau, jika perbuatan cenderung di dalam hatipun dilarang oleh Allah SWT, apatah lagi jika ianya ditafsirkan dengan tindakan dan perkataan, maka pastinya lebih besar akibatnya.

“Allah SWT menyeru hamba-Nya supaya memberikan penyaksian dan bertindak secara jujur kerana Allah SWT semata-mata tanpa mengharapkan ganjaran, juga tanpa memihak membuta tuli,” katanya.

Tambah beliau, penyaksian jujur adalah suatu tanggungjawab yang perlu dilangsaikan di mana ianya sebagai bukti keimanan seseorang sekalipun penyaksian itu kadang-kadang terkena pada diri sendiri.

Katanya lagi, antara ciri pemimpin yang baik adalah berlaku jujur walaupun terhadap diri sendiri, tiada penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi dan keuntungan keluarga.

Jelas beliau, ia bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Al Quran, Surah An Nisa’ ayat 135 yang mafhumnya: “Wahai orang-orang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri”.

“Justeru umat Islam hendaklah menjadi umat yang bermaruah dengan mengamalkan jati diri mulia, menolak rasuah serta menolak perasuah.

“Mempraktikkan kejujuran dan jauh sekali bersekongkol membenarkan kepalsuan. Semoga Allah SWT membimbing dan memelihara hati kita daripada sifat nifaq dan kufur,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -