Hayati erti kemerdekaan sebenar

- Advertisement -

TAWAU: PAS Kawasan Tawau telah mengadakan Konvoi Merdeka dan Street Dakwah bagi membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat dekat sini, semalam.

Konvoi yang disertai 100 orang dengan 25 buah kenderaan itu bermula dari Bandar Sri Indah melalui jalan Bukit Quoin dan berakhir dengan program Street Dakwah di Balung.

Yang Dipertuanya, Mohamad Hussain berkata program berkenaan merupakan salah satu usaha PAS kawasan dalam menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

- Advertisement -

“Antara tujuan program ini adalah untuk menyampaikan mesej Islam yang sebenar kepada masyarakat dan bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena hari kemerdekaan.

“Saya mengharapkan generasi kini mengambil iktibar daripada sejarah masa lalu, bukan sekadar melaungkan merdeka di mulut, namun supaya kita lebih menghayati apa erti kemerdekaan sebenar,” ujarnya.

Program diakhiri dengan agihan bendera dan takwim solat di padang pasar tamu Balung.

Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat PAS kawasan, Rosli Hasani dan Mandina Ladale serta beberapa ahli jawatankuasa PAS kawasan, Jabatan Amal dan Briged Muslimat turut hadir. – HARAKAHDAILY 26/8/2024

- Advertisement -