
KUCHING: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim melahirkan keyakinan pasukan Terengganu akan kembali bangkit pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, nanti.
Ini susulan kontinjen negeri tidak dapat mengekalkan kedudukan tiga teratas malah jatuh ke tangga kelima pada SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berakhir semalam.
Begitupun, bagi pihak kerajaan negeri, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua yang terlibat dalam mewakili Terengganu dari kalangan pengurusan pasukan, atlet dan sukarelawan sokongan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ketua dan timbalan ketua kontinjen, jabatan angkat, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, semua ayah angkat dari kalangan wakil rakyat dan jabatan angkat yang telah memainkan peranan sebaik mungkin.
“Saya memahami, ramai yang bersedih dengan penurunan prestasi dan pencapaian atlet kita pada kali ini.
“Meskipun demikian, saya merasai kesedihan atlet sendiri dengan kegagalan ini lebih besar dan mendalam,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi.
Menurutnya, mereka telah berusaha gigih untuk menyumbang pingat emas dalam acara SUKMA pada kali ini.
Katanya, petang semalam beliau telah memanggil mesyuarat khas bersama pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Panel Penilai Prestasi Atlet SUKMA (Presma) untuk meneliti pencapaian semasa pada kali ini dan melakarkan gerak langkah terus selepas ini.
Beliau berkata, perjalanan dan persiapan SUKMA pada kali ini mengikuti garis panduan dan protokol yang telah dilaksanakan sewaktu edisi-edisi SUKMA yang lalu.
Tambahnya, hanya beberapa perkara sahaja yang terpaksa disusun semula oleh pihak MSNT, antaranya seperti mengecilkan jumlah penyertaan yang berfokus sahaja dan juga mengurangkan penyertaan pertandingan di dalam dan luar negeri, tidak seperti edisi SUKMA sebelum ini untuk memastikan perbelanjaan difokuskan sewaktu temasya di Sarawak.
Jelasnya, dalam aspek penyertaan edisi SUKMA 2022, negeri menyertai sebanyak 78.87 peratus dan acara yang tidak disertai sebanyak 21.13 peratus, manakala penyertaan edisi kali ini sebanyak 69.67 peratus dan tidak sertai sebanyak 30.33 peratus.
Katanya lagi, banyak aspek yang perlu dipertimbangkan oleh pihak MSNT untuk perkara itu.
Sementara itu, ujarnya sasaran yang ditetapkan oleh pihak MSNT adalah berasaskan untuk mencapai kejuaraan keseluruhan.
Ini, ujarnya ternyata jumlah yang sama diperolehi oleh Kontinjen Sarawak sebanyak 76 pingat emas.
Walaupun begitu, tambahnya dalam penetapan sasaran itu, kontinjen negeri keciciran banyak pingat atas pelbagai sebab yang akan diperhalusi oleh pihak MSNT.
“Kami tetap memberikan sokongan dan menaruh keyakinan, Kontinjen Terengganu akan kembali bangkit pada tahun edisi 2026.
“Sehubungan dengan itu, pihak kami telah meletakkan tiga tindakan segera yang akan dibuat sekembalinya ke Terengganu,” ujarnya yang juga ADUN Tepuh.
Menurutnya, perkara pertama yang akan dibuat adalah ‘post-mortem’ menyeluruh yang melibatkan semua kontinjen.
Kedua, ujarnya perjumpaan dan pelantikan jurulatih sukan dan ketiga, Bengkel SUKMA 2026.
“Kesempatan ini, Terengganu merakamkan ucapan tanniah dan syabas buat Kontinjen Sarawak yang telah menjuarai SUKMA XXI Sarawak 2024 pada kali ini, begitu juga buat Kontinjen Wilayah Persekutuan dan Selangor.
“Semangat kesukanan ini akan terus diterjemahkan oleh semua warga sukan Terengganu,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas kejayaan penganjuran SUKMA edisi kali ini.
“Saya juga merakamkan ucapan khas buat YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Samsuri Mokhtar atas sokongan yang berterusan buat Kontinjen Terengganu serta seluruh kepimpinan utama Kerajaan Negeri Terengganu,” ujarnya lagi.
Terengganu memungut 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa pada SUKMA kali ini.
Pada SUKMA 2022, kontinjen negeri menduduki tempat kedua dengan pungutan 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa. – HARAKAHDAILY 25/8/2024











