Belum hilang penat mengemas, bah datang lagi

- Advertisement -

PORT DICKSON: “Air masuk rumah lagi ustaz. Baru saja cuci rumah sebab banjir baru ni. Penat pun tak hilang lagi. Bilalah nak selesai masalah kami ni?”

- Advertisement -

Demikian luahan penduduk yang tinggal di Lorong Yamah, Teluk Kemang kepada ADUN Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria sewaktu beliau turun membantu mangsa banjir di situ pagi tadi.

Menurut Ustaz Fatah, dalam beberapa kejadian banjir yang telah berlaku beberapa hari lepas, kawasan kampung tersebut turut dinaiki air.

“Saya sangat simpati dengan apa yang berlaku pada mereka. Mereka sangat letih. Baru beberapa hari lepas air naik. Mereka terpaksa bersihkan rumah.

“Kerana itu saya berharap sangat agar segala yang kita suarakan selama ni dapat diambil perhatian oleh pihak kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Jelasnya, saliran di situ perlu dibesarkan atau didalamkan kerana ia dilihat tidak dapat menampung aliran air besar akibat hujan lebat yang berlaku.

“Kalau tindakan segera tidak dilakukan kerajaan, saya bimbang kejadian ini akan terus berulang begini. Penduduk akan terus tertekan dengan banjir ini,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan laporan yang diterima, air naik pada jam 10:00 malam tadi hanya kira-kira dua jam selepas hujan lebat mula turun pada jam 7:00 malam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan
berkata demikian kepada _Harakahdaily_ ketika dihubungi hari ini bagi mengulas tentang kejadian banjir tersebut.

Jelas Ustaz Fatah, pagi ini beliau bersama-sama dengan petugas-petugas Pusat Khidmatnya telah turun membantu membersihkan rumah-rumah terlibat.

“Kami membantu apa yang kami termampu untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir ini. Kita sudah buat proses pembersihan rumah-rumah ini pagi tadi.

“Saya harap bantuan yang kami berikan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa-mangsa banjir ini,” katanya.

Sebelum ini dalam kejadian banjir yang berlaku pada Rabu, beliau turut mengingatkan penduduk di dalam DUN beliau agar berhati-hati dengan kemungkinan berlakunya banjir berulang akibat situasi air laut pasang dan hujan lebat mungkin berlaku serentak.

Untuk rekod, kawasan itu turut dilanda banjir kilat dalam kejadian pada 11 Ogos lepas waktu yang sama dengan kejadian banjir di kawasan Parlimen Masjid Tanah di Melaka. – HARAKAHDAILY 24/8/2024

- Advertisement -