Banjir lagi… Apa Kerajaan Negeri Melaka buat?

- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka dilihat belum lagi berjaya mengetengahkan tindakan-tindakan yang berkesan dan segera dalam mengatasi masalah banjir kilat berulang di negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ia susulan kejadian banjir kilat akibat hujan beserta ribut kencang yang berlaku di beberapa kawasan di Melaka semalam.

Tambahnya, banjir kilat yang berlaku itu terjadi di saat rakyat Negeri Melaka baru sahaja berduka peristiwa banjir kilat yang melanda Masjid Tanah dua minggu lepas.

“Apa sebenarnya pelan tindakan kerajaan negeri terhadap isu banjir ini? Sejak dari banjir besar di Masjid Tanah yang berlaku dua minggu lepas, sehingga hari ini tidak ada satu pun kenyataan dari pihak kerajaan negeri.

“Apa perancangan dan tindakan yang akan dilakukan untuk mengatasi isu banjir ini. Bila banjir berlaku, kerajaan negeri hanya tahu dan mampu buka dan tutup Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan hulur bantuan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Melaka berkata, kerajaan negeri jelas tiada perancangan khusus jangka pendek dan panjang untuk atasi isu banjir ini seolah-olah tidak peduli nasib rakyat menanggung beban impak bencana banjir.

Katanya, rakyat ditimpa bencana, hadapi kerosakan harta benda, tetapi Ketua Menteri dan kerajaan negeri masih dibuai dengan hiburan program sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024.

“Rakyat ditimpa bencana, hadapi kerosakan harta benda tetapi Ketua Menteri dan kerajaan negeri masih dibuai dengan hiburan program sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024.

“Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan serius untuk atasi masalah banjir. Jangan jadi ‘kerajaan lembu kenyang’,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook beliau sebentar tadi.

Dr Yadzil turut mempersoalkan kesungguhan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah banjir tersebut.

“Ini bukan banjir kali pertama tetapi telah beberapa kali bencana banjir berlaku di Melaka. Kali ini melibatkan kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong seperti Bandar Hilir.

“Dikhabarkan ramai peniaga yang menjadi mangsa. Tahun Melawat Melaka 2024 dinodai dengan bencana banjir,” ujarnya.

Berdasarkan maklumat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, banjir kilat telah berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Pengkalan Batu dan Banda Hilir.

Menurut APM, hujan lebat yang bermula 7:30 malam tadi menyebabkan banjir kilat itu tidak melibatkan sebarang pembukaan PPS.

Katanya dalam kenyataan itu lagi, kawasan yang terjejas melibatkan 23 buah rumah di Kampung Chetti, Kampung Morten (30), Kampung Pulau Kelapa (35), Kampung Batu Hampar (15).

Turut terlibat ialah Kampung Bukit Piatu melibatkan lima buah rumah, Kampung Solok Musai (15), Banda Kaba (10), Bukit Cina Taman Wan Show (15) dan Kampung Banda Hilir (4). – HARAKAHDAILY 24/8/2024

- Advertisement -