
KANGAR: Atlet Perlis terus mencipta kegemilangan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang sedang berlangsung di Sarawak, apabila berjaya merangkul 11 pingat emas, dan sedang memburu emas ke-12.
Pencapaian yang mengagumkan itu turut diperkukuhkan oleh kejayaan luar biasa atlet angkat berat negeri, Muhammad Hafizzudin Rosli, yang memecahkan lapan rekod kebangsaan dalam temasya kali ini.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri, dalam satu hantaran di Facebook tiga hari lalu, meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pasukan negeri yang pada ketika itu telah meraih emas ke lapan.
Kini, selepas meraih emas ke-11, pasukan Perlis semakin hampir mencapai sasaran emas yang lebih tinggi di SUKMA 2024.
Kejayaan Muhammad Hafizzudin yang juga dikenali sebagai ‘Udin’ tidak hanya memberikan emas ke-10 buat Perlis, tetapi turut memahat namanya dalam sejarah angkat berat negara.
Dalam aksi hebatnya, beliau berjaya memecahkan lapan rekod kebangsaan dalam kategori snatch dan clean and jerk, dengan angkatan tertinggi masing-masing 151 kg dan 181 kg, menjadikan jumlah keseluruhan angkatannya 332 kg.
Prestasi cemerlang itu memperlihatkan kehebatan dan dedikasi Muhammad Hafizzudin dalam sukan angkat berat, sekali gus menyumbang kepada kejayaan pasukan Perlis di pentas SUKMA.
Mohd Shukri turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan luar biasa ini, yang jelas membuktikan kemampuan atlet-atlet Perlis bersaing di peringkat kebangsaan.
Pasukan Perlis kini terus mengorak langkah untuk menambah lagi koleksi emas mereka dalam temasya SUKMA 2024. – HARAKAHDAILY 23/8/2024











