
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor amat prihatin dengan masalah penduduk yang menghadapi masalah banjir sekitar bandar itu.
Justeru, beliau akan membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan segera.
Pagi tadi, beliau menziarahi penduduk termasuk ibu tunggal, Jamrina Jailani yang tinggal di Lorong Haji Alias Taman Jaya 6 yang berdepan masalah banjir.
“Malam tadi saya dimaklumkan rumahnya telah dimasuki air selepas hujan lebat, air longkang di belakang rumahnya mulai penuh dan melimpah bermula dari arah dapur,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya.
Menurutnya, kawasan itu dimaklumkan kerap dilanda banjir kilat hampir setiap tahun.
Katanya, antara punca utama terjadi banjir kerana tidak ada sistem perparitan.
Beliau berkata, walaupun telah beberapa kali diadakan perbincangan untuk dilaksanakan projek membina sistem perparitan tetapi ditangguh sehingga hari ini.
Akibatnya, ujar Salamiah hampir 10 buah rumah di lorong itu menanggung risiko dilanda banjir setiap tahun.
Beliau juga menziarahi Sokra Alias dan isteri yang turut terlibat dengan banjir kilat malam tadi.
“Insya-Allah perkara dan permasalahan ini saya akan bawa kepada pihak berwajib untuk tindakan segera.
“Semoga semua mangsa tabah dan sabar dengan ujian yang melanda, moga segala urusan dipermudahkan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/8/2024











