
VETERAN Palestin Faruq Qaddumi dilaporkan meninggal dunia semalam (22 Ogos 2024) di Amman Jordan dalam usia 93 tahun. Beliau adalah pemimpin Palestin sebaris dan sezaman dengan Yasir Arafat, Khalil Al Wazir dan Solah Khalaf.
HAMAS dalam kenyataan rasminya mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Palestiun di atas kematian Faruq Qaddumi yang dianggap sebagai seorang tokoh yang telah merentasi jalan panjang dalam perjuangan Palestin.
Kenyataan berkenaan menyifatkan Faruq sebagai salah satu nama besar bagi rakyat Palestin. HAMAS menghargai sumbangan Faruq serta sokongannya khususnya dalam isu terkini berkaitan kebangkitan rakyat di Gaza.
Faruq atau lebih mesra dengan panggilan Abu Lutfi dilahirkan pada 1931 di Nablus, Tebing Barat. Mendapat pendidikan awal peringkat rendah dan menengah di beberapa buah sekolah di Yafa.
Menyambung pengajian di bidang ekonomi di Universiti Amerika, Kaherah dan berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda bidang berkenaan pada tahun 1958.
Ketika belajar di Mesir, beliau mula mengenali Yasir Arafat dan Solah Khalaf. Melihatkan tekanan Israel yang begitu kuat di Palestin, mereka merancang menubuhkan sebuah kumpulan yang berjuang untuk membebaskan bumi Palestin.
Bersama dengan seorang lagi rakan Khalil Al Wazir, mereka menubuhkan pertubuhan yang diberi nama Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin atau singkatannya Fatah.
Faruq Qadumi adalah editor majalah yang diberi nama Filastinuna. Selain menjadi anggota pusat Fatah sejak 1965, beliau juga adalah wakil Fatah di Kaherah untuk beberapa tahun.
Faruq turut terlibat dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin PLO sebagai anggota pelaksana pada 1969, ketua biro politik (1973) dan ketua biro antarabangsa (1989). Beliau juga pernah menganggotai Dewan Negara dan terlibat secara langsung dalam hubungan dengan negara-negara Arab, Soviet Union dan negara-negara lain.
Semoga Allah merahmatinya.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 23/8/2024












