
JELI: Bagi memastikan penggunaan baja organik digunakan dengan cara yang betul oleh petani, sesi taklimat penggunaan produk tersebut telah diadakan kepada penggunanys dalam Parlimen ini, di sini hari ini.
Penerangan itu turut melibatkan para Penghulu Mukim pada majlis taklimat permohonan program bantuan baja organik dan taklimat penggunaan produk kepada penerima di Pejabat Pertanian Jajahan Jeli, di sini.
Majlis melibatkan 20 penerima bantuan baja organik berkenaan dirasmikan Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Datuk Shaari Mat Hussain yang juga ADUN Paloh.
Shaari ketika berucap pada majlis itu berharap, bantuan yang diberikan petani akan lebih bersemangat dalam menggerakkan sektor pertanian di Malaysia khususnya di negeri Kelantan.
Beliau berharap penerima sumbangan terbabit memanfaatkannya sebaik mungkin.
“Dalam menjaga kelestarian sekuriti makanan di negara kita, dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, insya-Allah ia dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan para petani,” katanya.
Turut dihadir pada majlis itu ialah Pengarah Pusat Khidmat Dun Ayer Lanas, Mustapha Deris dan lain-lain jemputan. – HARAKAHDAILY 22/8/2024











