
KOTA BHARU: Peranan media sosial begitu penting pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, namun ia berbeza dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Sabtu lepas.
Psikososio sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, liputan internet di banyak tempat di DUN Nenggiri agak terbatas.
Katanya, paling ketara di penempatan Orang Asli yang terletak di pedalaman Gua Musang sering terganggu.
“Misalnya di Pos Pulat biarpun menara telekomunikasi berada tidak jauh dari rumah penduduk namun liputannya sering terganggu.
“Keadaan yang berlaku itu menyebabkan maklumat yang disalur melalui media sosial kurang sampai kepada sasaran,” katanya di sini.
Malah baru-baru ini Harakahdaily melaporkan penduduk Orang Asli di Pos Pulat memberitahu liputan telekomunikasi di penempatan tersebut sering terganggu.
Menurut penduduk ada ketika gangguan berlaku sehingga dua hari menyebabkan masyarakat Orang Asli sukar berhubung.
Dr Zulkeflee juga berkata, berbeza berbanding Umno kerana parti itu dibantu agensi dan jabatan kerajaan Pusat sehingga mereka dapat menguasai penempatan Orang Asli dan kampung tradisional.
Kata beliau pemimpin Umno menggunakan kedudukan dalam kerajaan menaiki helikopter ke penempatan Orang Asli yang mengambil masa beberapa minit sahaja untuk sampai.
“Sedangkan petugas pilihan raya PAS dan Perikatan Nasional terpaksa menggunakan pacuan empat roda sehingga lapan jam untuk sampai ke Pos Gob.
“Lagipun semua orang sudah lima Pusat Daerah Mengundi Orang Asli merupakan deposit kekal BN kerana masalah demografi dan sosioekonomi penduduk,” ujarnya.
Kata beliau juga faktor kenaikan kos sara hidup sekarang menyebabkan ada pengundi melihat nilai kebendaan kerana mereka perlu wang untuk membeli keperluan harian.
Menurutnya strategi umpan material disebut meluas penduduk di Nenggiri kerana masih ramai terbelenggu dengan kemiskinan biarpun lebih 40 tahun mereka memilih wakil rakyat BN. – HARAKAHDAILY 21/8/2024











