
KUANTAN: PAS ditubuhkan kerana keperluan dan tuntutan untuk membawa agenda Islam di atas muka bumi ini, kata Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pahang, Ustaz Hazmi Dibok.
Justeru, katanya PAS yang ditubuhkan bukan kerana alasan peribadi dan rasa tidak puas hati.
Jelasnya, PAS memperjuangkan agar wujudnya di dalam negara ini sebuah pemerintahan Islam yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum hakam.
“Kalau tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua. Jadi kena gigih memperkasa parti untuk menggapai kemenangan,” ujarnya semasa mengisi satu slot Tamrin Asas Muslimat PAS Kawasan Kuantan di Pusat Tarbiyah Islamiyah PAS Kampung Peramu, di sini kelmarin.
Tambahnya, dengan adanya kuasa pemerintahan akan dapat memenuhi tujuan dan matlamat perjuangan PAS itu sendiri.
“Gerakan Islam ini datang dari kesedaran denyut nadi rakyat. Ia mencakupi gerak kerja (amal Islami), bersifat massa atau gerakan rakyat, bergerak secara berorganisasi yang tersusun kemas, bersistematik,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, PAS adalah sayap dan jentera sebuah Gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama.
“Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri-ciri gerakan hizbullah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah SWT,” katanya.
Tamrin itu telah menyuntik semangat peserta untuk terus bangkit mempersiapkan diri dan organisasi berjuang sehingga PAS berjaya menerajui Pahang.
Tamrin dihadiri 132 peserta dalam kalangan muslimat cawangan termasuk Nusaibah, Briged, Ameerah, guru-guru PASTI dan SRITI itu bertujuan untuk memantapkan pemahaman mengenai tasawwur Islam dan PAS sebagai Gerakan Islam dan parti politik. – HARAKAHDAILY 21/8/2024











