Tiada kebebasan ubudiyyah tanpa kemerdekaan

- Advertisement -

MUAR: Kemerdekaan yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap sesebuah negara umat Islam itu adalah sesuatu anugerah sangat besar ertinya kepada mereka.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, dengan kemerdekaan itulah umat Islam dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan sempurna.

“Tanpa kemerdekaan kita tidak mempunyai kebebasan untuk kita menghayati Islam sebagaimana yang pernah dihayati di zaman Rasulullah SAW, zaman para Sahabat RA, di zaman para tabiin.

“Hinggalah seterusnya di zaman pemerintahan Melayu Islam di Nusantara termasuk di Melaka. Jadi tanpa kemerdekaan itu kita tidak dapat menghayati Islam dengan sepenuhnya.

“Tetapi apabila kita diberi kemerdekaan oleh Allah SWT, maka perkara pertama yang menjadi tanggungjawab sebagai Muslim ialah kita melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala tegahan Allah SWT dalam seluruh urusan kehidupan,” katanya.

Jelas beliau, umat Islam dipertanggungjawabkan dengan perkara itu kerana mereka sudah berjanji dengan Allah SWT untuk menjadi hamba kepada Allah selaras dengan firman-Nya di dalam Al Quran.

“Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran bahawa Dia tidak sekali-kali mencipta atau menjadikan manusia dan jin, daripada keadaan yang tidak ada, kepada keadaan yang wujud; melainkan dengan tujuan dan matlamat agar mereka mengabdikan diri kepada Aku, tegas Allah” katanya.

Tambah beliau, itu adalah merupakan penegasan Allah SWT di dalam Al-Quran, mengenai tujuan manusia dicipta di mana manusia bukan ada di dunia ini secara tiba-tiba atau secara yang tidak disengajakan, tetapi mempunyai tujuan penciptaan-Nya.

Tegas beliau, fahaman yang sebaliknya tidak mempercayai wujudnya Pencipta adalah fahaman dipanggil atheis, iaitulah tidak beriman adanya tuhan.

“Tetapi kita beriman, kita percaya, bahawa sesungguhnya alam ini ada pencipta dan Allah SWT nama-Nya dan Allah mencipta segala jin dan manusia dan segala makhluk, langit dan bumi yang ada di alam ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin itu berkata demikian sewaktu berucap dalam program ‘Ceramah Perdana Isu Semasa’ sempena ‘Karnival Muo Merdeka’ anjuran PAS Kawasan Muar yang berlangsung di PASTI Hadi, Parit Tarom, di sini malam kelmarin.

Kata beliau lagi, penegasan yang dibuat oleh Allah SWT bahawa Allah mencipta manusia itu nanti akan dituntut oleh Allah di hari akhirat.

“Bukan sekadar penegasan begitu sahaja. Kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Kerana itu Allah SWT berfirman, ‘Bukankah Aku merupakan tuhan kepada kamu? Maka ketika itu di alam roh manusia menjawab ‘Bahkan kami bersaksi bahawa Allah adalah tuhan yang menciptakan.

“Maka perkara mengenai perjanjian kita dengan Allah SWT ini dapat kita laksanakan, dapat kita hayati, dapat kita lakukan apabila kita mempunyai kebebasan. Mempunyai kebebasan melalui kemerdekaan yang kita capai. Ini kita perlu faham, kita perlu ingat,” katanya.

Kerana itu menurut beliau, setiap kali umat Islam menyambut kemerdekaan negara ini mereka perlu bertanya adakah mereka telah memenuhi janji mereka kepada Allah SWT itu.

“Kita perlu bertanya kerana nanti di hari akhirat kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT,” kata beliau.

Turut berucap dalam program tersebut ialah ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Roslan Nikmat serta ADUN Maharani yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar, Abdul Aziz Talib. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -