
PENDANG: Bakti Siswa Perdana 2024 yang melabuhkan tirainya di DUN atau kampung angkat terlibat kelmarin, telah merakam memori indah buat mahasiswa yang menjadi peserta program itu.
Tujuh hari berkampung bersama keluarga angkat masing-masing, bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada mereka selaku peserta, bahkan turut terjalin tautan ukhuwah yang erat.
Di DUN Tokai, sempena majlis perpisahan bersama anak-anak angkat, pihak DUN menyediakan jamuan tengahari iaitu Nasi Daging yang sememangnya popular di daerah ini.
Orang-orang kampung bersama para peserta Bakti Siswa menjamu selera secara santai dengan duduk bersila di atas tikar.

“Saya mengharapkan semua peserta yang telibat tidak serik atau berputus asa untuk bersama kami lagi, sekiranya ada kesempatan pada masa akan datang
“Jangan pula putus hubungan. Sekarang ni zaman canggih, ada WhatsApp, ‘video call’ dan lain-lain. Hubungilah bila ada masa lapang. Dulu lainlah, kena utus surat, ambil masa juga nak dapatkan perkhabaran,” kata ADUN Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.
Majlis yang diadakan di Markas PAS, Gajah Mati itu, turut dihadiri Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Mohd Sheriff
Majlis sama turut diadakan oleh ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah yang juga Exco Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Kedah pada majlis yang dilangsungkan di Kampung Tanah Merah, Jitra.
Beliau pada majlis itu mengharapkan segala ilmu dan tunjuk ajar yang diperolehi selama tujuh hari bermula 11 Ogos lalu dapat dijadikan pengalaman baru dalam kehidupan para mahasiswa.
Dalam masa yang sama, khidmat dan bakti anak-anak angkat telah curahkan sepanjang Bakti Siswa tersebut di kampung dan keluarga angkat masing-masing katanya, amatlah dihargai.
“Semoga apa yang semua peserta dapat dan berikan kepada penduduk kampung akan memberikan kesan yang berpanjangan,” kata beliau.

Sementara itu di DUN Bandar Baru, majlis perpisahan bersama para peserta Bakti Siswa diadakan di Masjid Al-Falah, Sungai Tengas dan dirasmikan oleh ADUN Bandar Baharu, Dr Mohd Suffian Yusoff.
Pada majlis penutup itu juga diadakan acara sukaneka melibatkan peserta dan penduduk kampung, selain majlis kenduri rakyat yang ternyata menyerlahkan silaturahim telah terjalin antara mereka.
Di DUN Ayer Hitam pula, majlis penutup disempurnakan di Kampung Pulau Maharaja melibatkan 38 mahasiswa yang telah berkampung menjayakan Bakti Siswa di situ sejak 11 Ogos lalu.
Kata ADUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim menyatakan keyakinan beliau bahawa program Bakti Siswa ini dapat memberi manfaat kepada peserta dan penduduk kampung.

“Program ini akan meninggalkan impak yang bermakna kepada siswa dan siswi khususnya dalam membina jati diri mereka sendiri,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, ADUN Belantik, Ahmad Sulaiman, hadir pada majlis penutup Bakti Siswa yang diadakan di Masjid Al-Huda, Kampung Lubuk Tualang.
Katanya, program julung kali diadakan di DUN tersebut, merupakan program yang amat baik kerana ia menjalin ikatan ukhuwah antara para pelajar dan penduduk kampung.

Majlis penutup Bakti Siswa Perdana 2024 juga diadakan di DUN-DUN lain yang terlibat, seperti DUN Kuala Nerang, Alor Mengkudu, Sungai Limau, Lunas, Pantai Merdeka,Kuala Ketil dan Kuah.
Terdahulu, program yang disertai 520 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di Dewan Seri Mentaloon, 11 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 19/8/2024











