Pembela, Wafiq perangi pengaruh negatif iklan arak, tembakau di sekolah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pembuat dasar, pendidik, dan pemimpin Kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi melindungi pelajar dan remaja daripada pengaruh gejala berbahaya akibat arak dan tembakau.

Pembela dan Wafiq dalam kenyataan bersamanya menggesa agar KPM menguatkuasakan peraturan yang ketat untuk melarang iklan arak dan tembakau dalam radius 500 meter dari semua institusi Pendidikan Kerajaan dan swasta.

- Advertisement -

Organisasi tersebut juga menggesa KPM melancarkan kempen kesedaran di seluruh komuniti untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya iklan arak dan tembakau.

Pembela dan Wafiq yang mewakili lebih daripada 80 badan bukan kerajaan dan organisasi masyarakat sivil menzahirkan keprihatin terhadap kehadiran iklan arak dan tembakau yang meluas di dalam dan sekitar institusi-institusi dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. 

“Iklan-iklan ini menimbulkan ancaman besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar kita.

“Badan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengklasifikasi alkohol sebagai karsinogen kelas 1, bersama-sama dengan asbestos dan tembakau. 

“Kajian berskala besar melibatkan puluhan ribu responden remaja menunjukkan pengiklanan dan remaja minum arak adalah bersifat penyebab (Causal and Effect).

“‘Causal and effect’ adalah tahap tertinggi kajian yang mengesahkan punca sesuatu faktor,” ujar pertubuhan tersebut dalam satu kenyataan. 

Berikutan perkara tersebut menurutnya, punca remaja minum arak adalah pengiklanan, apatah lagi jika pengiklanan itu berlaku di sekolah dan ua memberi gambaran tabiat minum arak sebagai sesuatu yang positif.

Menurut pertubuhan tersebut, kajian juga telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada iklan arak dan tembakau secara signifikan meningkatkan kemungkinan penggunaan bahan tersebut dalam kalangan remaja.

“Akademi Pediatrik Amerika telah membuktikan hubung kait antara iklan tersebut dan tingkah laku merokok dan minum dalam kalangan remaja. 

“Pendedahan ini bukan sahaja menormalisasikan penggunaan bahan tersebut tetapi juga menjadikannya lebih menarik kepada minda muda yang mudah terpengaruh. 

“Kehadiran iklan-iklan ini merosakkan persekitaran pendidikan. Ia mengganggu pelajar daripada pelajaran mereka dan mempromosikan tingkah laku tidak sihat yang boleh membawa kepada prestasi akademik yang lemah, peningkatan ketidakhadiran, dan kadar keciciran yang lebih tinggi,” jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, Laporan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menekankan bahawa penggunaan bahan tersebut dikaitkan dengan hasil pendidikan yang negatif, termasuk penglibatan dan prestasi sekolah yang berkurangan.

Justeru, Pembela dan Wafiq menggesa KPM mengambil langkah penguatkuasaa bagi memastikan keberkesanan peraturan KPM sedia ada.

“Kami mencadangkan langkah-langkah penguatkuasaan berikut, pertamanya ialah menubuhkan pasukan pemantau yang akan melakukan pemeriksaan berkala di kawasan sekitar sekolah untuk memastikan tiada iklan arak dan tembakau yang dipamerkan.

“Keduanya, mengenakan denda yang berat kepada syarikat yang melanggar peraturan ini, termasuk penarikan balik lesen perniagaan jika perlu.

“Ketiganya ialah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan penguatkuasaan peraturan ini dijalankan dengan tegas dan berkesan.

“Keempat pula, menyediakan saluran aduan yang mudah diakses oleh orang awam untuk melaporkan sebarang pelanggaran peraturan ini,” kata organisasi tersebut. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -