Ikhlas, istiqamah syarat capai kemenangan

Wan Hasrina Wan Hassan
- Advertisement -

KUALA LANGAT: Muslimat muda PAS perlu memahami bahawa kemenangan yang ingin dicapai adalah kemenangan yang diredai Allah, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS), Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan.

- Advertisement -

Ini, ujarnya kerana mempertahankan prinsip Islam, bukan kemenangan yang menyebabkan tergadainya prinsip perjuangan.

Menurutnya, antara prasyarat untuk mencapai kemenangan mestilah memiliki akhlak perjuangan iaitu sabar dalam menghadapi panjangnya masa berjuang.

Di samping itu, tambahnya sabar menghadapi pelbagai ranjau dan rintangan yang sentiasa ada dalam perjuangan.

“Keikhlasan yang tulus terhadap perjuangan juga salah satu daripada prasyarat kemenangan.

“Keikhlasan menuntut kita agar tidak berasa lelah dengan kritikan orang sekeliling, tidak mudah merasa berbangga diri dan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan keikhlasan dalam perjuangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Kepimpinan Muslimat Muda PAS Selangor yang diadakan di Sijangkang selama dua hari yang berakhir semalam

Kursus itu mengumpulkan lebih 100 orang muslimat muda PAS yang mewakili semua kawasan.

Wan Hasrina juga berkata, istiqamah dalam perjuangan, mentaati arahan pimpinan, sanggup berkorban dalam perjuangan dan tidak gentar menghadapi penentangan musuh juga merupakan sebahagian daripada prasyarat untuk mencapai kemenangan.

Turut hadir dan membuat pengisian adalah Timbalan dan Naib Ketua DMPNS, Noraini Hussin dan Dr Uzaimah Ibrahim serta Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi DMPNS, Nurul Husna Abd Hamid. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -