
LAHAD DATU: PAS Sabah bukan parti eksklusif sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa parti itu tidak terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum.
Setiausaha PAS negeri, Sahar Abd Majid berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana PAS sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang sudi bekerjasama bagi membangunkan negeri ini selagi mana adil dan saksama.
“Walaupun dasar PAS adalah Islam, namun PAS bukanlah parti yang eksklusif dan statik seperti yang digambarkan oleh beberapa pihak dengan naratif yang jahat.
“Ada juga dakwaan mengatakan PAS adalah parti Semenanjung yang tidak sesuai di Sabah, namun bagaimana pula parti yang lain juga daripada Semenanjung seperti DAP dan PKR boleh diterima di Sabah? Ini dakwaan tidak berasas
“Ini tugas kita sebagai ahli PAS memecahkan tembok salah faham ini dengan menafikan segala tanggapan buruk itu, paling tidak meminimumkan tanggapan menjadi lebih kecil,” jelasnya sewaktu merasmikan Bengkel Penerangan PAS Sabah di Sandakan, semalam.
Sehubungan itu, Sahar menyeru kepada jentera penerangan agar menjadi juru dakwah kepada masyarakat untuk sampaikan Islam dalam konteks politik.
Tegasnya, jentera penerangan ibarat sinar cahaya yang menerangi bilik yang gelap, tanpa cahaya itu sudah pasti berada dalam kegelapan.
“Begitu juga jentera penerangan, tanpa ada usaha penerangan mana mungkin politik PAS dikenali oleh masyarakat, khususnya di negeri Sabah,” tambahnya.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah, Ketua Penerangan, Mustaman Mustain dan Ketua Muslimat, Norsah Bongsu. – HARAKAHDAILY 19/8/2024











