
KUANTAN: Ramai yang terjejas dari gugusan Balok hingga ke Sungai Karang dan Beserah termasuk sekolah, kedai dan pejabat.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu berkata, beliau telah berhubung dengan Pengurus Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) daerah pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan.
Menurutnya, gangguan telah berlaku sejak semalam lagi berpunca daripada paip pecah di satu lokasi di Balok.
“Saya difahamkan pecah dua kali berturut-turut. Saiz paip agak besar.
“Kerja-kerja baik pulih sudah disiapkan hampir tengah malam tadi. Namun injap kawalan pula rosak, tak dapat dibuka,” ujarnya dalam hantaran di laman sosialnya, hari ini.
Katanya, pihak PAIP sedang mendapatkan alat ganti di stor di Maran.
Tambahnya, lori-lori tangki juga sedang digerakkan secepat dan seluas mungkin bagi menangani masalah bekalan yang terganggu.
Justeru, beliau berharap orang ramai dapat bersabar sementara pihak PAIP berusaha mengatasi masalah di luar jangkaan itu.
“Mudah-mudahan Allah mengurniakan rahmat dan kebaikan atas kesabaran kita.
“Juga semoga Allah permudahkan urusan kita semua dan gangguan bekalan dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.
Sementara itu, PAIP memaklumkan bahawa valve bersaiz 300 mm telah rosak dan menyebabkan air tidak boleh dibuka Simpang Balok Baru jalan by-pass Kuantan. – HARAKAHDAILY 19/8/2024











