
KUALA LUMPUR: PRK DUN Nenggiri sebagaimana juga pilihan raya sebelum-sebelum ini menyaksikan ia adalah pertandingan antara jentera parti politik Perikatan Nasional (PN) yang berdepan dengan kerahan jentera dan agensi Kerajaan Persekutuan.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, sudah terang bersuluh, perlawanan tidak berlaku antara parti dengan parti di mana perkara tersebut dilihat jelas dilakukan pihak Barisan Nasional (BN) ke atas jentera dan agensi kerajaan.
“Saya berada di sana lebih seminggu dan dapat lihat secara dekat suasana yang ada. Digunakan agensi-agensi kerajaan sepertimana FELCRA, KESEDAR di bawah Kerajaan Pusat dengan tanpa segan dan malu.
“Begitu juga dengan penggunaan agensi JAKOA yang menguruskan kebajikan hal ehwal Orang Asli yang digunakan sepenuhnya untuk memastikan ‘fixed deposit’ Umno-BN yang memang selama ini sudah pun ada dan digandakan lagi,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu juga membangkitkan betapa dalam usaha BN memastikan kemenangan menyebelahi mereka pada kali ini, dapat dilihat penggunaan jentera yang dipercayai melibatkan peruntukan kewangan besar.
Menurutnya, ia sebagaimana Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno-BN menaiki helikopter, di mana apabila dinyatakan penggunaan itu bukan milik kerajaan, maka menimbulkan persoalan mengenai sumber dan jumlah peruntukan dana digunakan.
Kata Ustaz Idris, maklumat mengenai jumlah dana digunakan, sumber atau pihak penyumbang mungkin tidak terdedah pada masa ini, tetapi ia pasti akan dapat diketahui apabila PH-BN tidak memerintah lagi nanti.
Tambah beliau, ia sebagaimana dipersoal serta didedahkan sendiri oleh bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa yang tentunya maklum atau mempunyai maklumat lebih terperinci berkenaan hal penggunaan seperti itu.
“Ini satu kerusi tradisi pada pihak Umno-BN. Pada PRN15 baru-baru ini jatuh kepada PN dan dulunya dengan Semangat 46 juga. Kalau kita kalah itu benda yang tidak menjadi keajaiban.
“Dulu pun kita dapat lihat dalam PRK Pengkalan Pasir, kawasan tradisi PAS, tapi tiba-tiba kita kalah. Dan alhamdulillah lepas daripada itu kita dapat rebut balik dalam Pilihan Raya Umum. Sebab kalau PRK ni kita faham tumpuan yang begitu hebat diberikan.
“Untuk BN memastikan kemenangan, mereka akan gunakan apa saja terutama kita faham, kepada Timbalan Perdana Menteri kemenangan ini untuk survival politik dia,” hujah Ustaz Idris.
Beliau secara sinis turut memuji Umno-BN telah menggunakan ‘strategi terbaik’ apabila tidak membenarkan DAP dan beberapa figura daripada PKR yang merupakan rakan politik mereka di dalam kerajaan untuk turut turun berkempen.
Di mana menurutnya, di situ menunjukkan para pengundi Umno-BN tidak boleh menerima adanya kerjasama parti itu bersama DAP, oleh itu ‘tindakan bijak’ menerusi strategi tersebut berjaya menyembunyikan hakikat dari pengundi Melayu terutamanya.
“Bagaimanapun strategi-strategi ini tak akan kekal lamalah kerana lama-kelamaan orang tahu juga memang Umno hari ni bersekongkol dengan DAP.
“Satu lagi kita dapat lihat juga kalau dah Umno rasa kuat dah menang kali ini, harapnya keenam-enam Ahli Parlimen yang melompat itu boleh meletakkan jawatan.
“Barulah di sana kita boleh tengok ukuran yang sebenar, buat pilihan raya serentak enam-enam (kerusi itu) baru kita dapat lihat pula kalau betul-betul Umno punya kekuatan yang hebat.
“Lagipun Umno telah ‘demand’ pun enam-enam kerusi itu nak bertanding. Okey? Kalau ‘no problem’ cuba tengok sekali lagi (adakan PRK di enam kerusi itu),” cabar Ustaz Idris. – HARAKAHDAILY 18/8/2024











