
GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan menerima keputusan Pilihan Raya Kecil N.43 DUN Nenggiri dengan lapang dada dan menghormati pilihan yang telah dibuat pengundi.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) tidak berjaya dalam PRK tersebut, namun kerajaan negeri komited dengan agenda berkebajikan dan tetap akan menyantuni dan menjaga kepentingan penduduk Nenggiri.
Katanya usaha itu melalui program dan skim yang dilaksanakan di bawah Kerajaan Negeri.
“Keprihatinan terhadap keperluan rakyat akan kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan dasar yang diambil,” katanya pada kenyataan malam ini.
PRK Nenggiri menyaksikan BN berjaya merampas DUN terbabit dengan majoriti lebih daripada 3,000 undi selepas dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas.
Menteri Besar juga berkata, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi di Nenggiri yang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Katanya penglibatan semua pengundi adalah satu manifestasi penting dalam memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan kepada seluruh jentera PAS Kelantan termasuk rakan-rakan PN yang berkampung menyantuni penduduk Nenggiri sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.
“Mereka berkorban masa, tenaga, idea dan wang ringgit untuk membantu PN sepanjang temph kempen PRK. Segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan amat dihargai.
“Dan pasti Allah SWT membalas segala amal soleh yang dilakukan dengan ganjaran berlipat ganda,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/8/2024











