‘Pembangunan bukan nak berlawan siapa paling gah’

Dr Azman Ibrahim semasa melabuhkan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas, Khamis lalu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Pembangunan bukan nak berlawan siapa paling gah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Katanya, beliau faham makna pembangunan ialah membuat dan membangunkan apa yang diperlukan oleh rakyat.

“Kalau rakyat perlu bangunan bertingkat-tingkat sampai 100 tingkat maka ia perlu dibuat,” ujarnya sinis dalam hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Tambahnya, kalau rakyat memerlukan lebuh raya, maka dibina lebuh raya.

Katanya, kalau yang diperlukan ialah kemudahan asas di peringkat bawah seperti jeti nelayan, jalan kampung, empangan pengairan, masjid, longkang, padang ragut, rumah mampu milik, pusat pengumpulan hasil pertanian, sistem pengairan pertanian dan sebagainya, maka ia perlu diutamakan sekalipun tidak nampak gah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan bukan hendak berlawan siapa paling gah.

“Kena tahu beza antara makna pembangunan dan buat bangunan,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Menurutnya, membuat bangunan ialah sebahagian daripada pembangunan tetapi pembangunan bukan maknanya mesti membuat bangunan.

Justeru, ujarnya projek pembangunan tukun tiruan contohnya banyak menyumbang kepada peningkatan sumber hasil laut yang secara langsung meningkatkan pendapatan nelayan.

“Cuma oleh kerana pembangunan ini kita selam dalam laut, maka jadilah ia pembangunan yang tak dapat dilihat.

“Walau tak nampak tapi nelayan ada alat GPS canggih boleh cari,” tambahnya.

Khamis lalu, sebanyak 23 unit tukun tiruan cheese block selamat dilabuhkan di perairan Pulau Kapas, Marang.

Tukun seberat kira-kira dua tan itu adalah sumbangan Syarikat HHA Associate Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat kontraktor oil and gas dan Petronas (Integrated Bekok Oil) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu.

Menurut Dr Azman, lerajaan negeri sangat menghargai sumbangan dan kerjasama daripada pihak korporat dan swasta untuk sama-sama berkolaborasi dalam aktiviti memperkayakan sumber perikanan di laut Terengganu. – HARAKAHDAILY 17/8/2024

- Advertisement -