
GUA MUSANG: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan merakam penghargaan tinggi kepada bekas pemimpin Umno yang memberi penjelasan mengapa perlu memberi undi kepada PN.
Pengerusinya Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, bekas pemimpin Umno terbabit memberi sebab mengapa perlu menolak Umno dan DAP demi bangsa, agama dan negara.
Katanya, penolakan perlu dilakukan terhadap Umno dan PH selepas kerajaan Pusat yang ada sekarang tidak dapat memenuhi hasrat rakyat.
“Bekas pemimpin Umno terbabit telah memberi penjelasan sebaik-baiknya mengapa Umno perlu ditolak pada Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri,” katanya pada ceramah Grand Finale di Kampung Jerek malam tadi.
Petang semalam pemimpin PN yang diketuai Setiausaha Agungnya Dato’ Seri Hamzah Zainuddin mengunjungi rumah bekas ADUN Galas Dato’ Mohamad Saupi Deraman di bandar Gua Musang.
Pada kunjungan Saupi memberi pandangan perlu memberi sokongan kepada calon PN demi agama, bangsa dan negara selepas Umno yang ada sekarang berdepan dengan krisis kepimpinan.
Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, berdasar perkembangan yang berlaku di Nenggiri sekarang memperlihatkan peluang begitu cerah bagi mempertahankan DUN tersebut.
“Saya juga sebagai Pengerusi PN merakam ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang datang membantu kempen PN di DUN Nenggiri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2024











