Pemuda PAS, Wanita PN sambut kepulangan perantau

- Advertisement -

GUA MUSANG: Dewan Pemuda PAS Kelantan, Dewan Muslimat dan Wanita PN menyambut kepulangan perantau yang akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri esok dengan mengibar bendera PAS.

- Advertisement -

Mereka melalukan flash mob di hadapan Masjid Buluh tidak jauh dari Simpang Tiga Jalan Gua Musang-Kuala Krai-Kuala Lipis.

Kelihatan hadir Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Malek Abdul Karim, Naib Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Firdaus Mohd Nawi dan ahli-ahli jawatankuasa Pemuda PAS Gua Musang.

Dewan Muslimat dan Wanita PN pula melakukan flash mob di kawasan berhampiran. Mereka mengibar bendera bulan sambil melambai-lambai ke arah kenderaan melalui kawasan tersebut. 

Kenderaan yang melalui kawasan tersebut menyembunyikan hon sebagai tanda sokongan. Flash mob tersebut bermula kira-kira jam 6 petang tadi.

Difahamkan aktiviti serupa juga diadakan di sepanjang laluan Gua Musang–Kuala Krai dan Gua Musang-Jelawang di lokasi yang terbabit dengan pilihan raya DUN Nenggiri.

Kenderaan yang melalui jalan Gua Musang-Kuala Krai juga menyembunyikan hon ketika melewati Pejabat Pusat Khidmat DUN Nenggiri di Renok Baru kerana di lokasi terbabit banyak bendera PAS.

Manakala seorang anak perantau yang tinggal di Sungai Asap A berkata, beliau pulang awal ke kampung menemui keluarga di samping mahu membuang undi esok.

Menurutnya juga kawan-kawan yang bekerja di luar Kelantan juga memberitahu akan pulang untuk mengundi esok. – HARAKAHDAILY 16/8/2024

- Advertisement -