
KANGAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin mengucapkan takziah kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas kehilangan bonda tercinta pagi tadi.
Beliau menyatakan rasa kesedihan yang mendalam atas pemergian Meriam Ahmad dan turut berkongsi kenangan bertemu di rumah Almarhumah di Kampung Sungai Pau, Sik dua bulan lalu.
Dalam pertemuan tidak rasmi tersebut, Tuan Guru melihat bahawa bonda dan ayahanda kepada Sanusi adalah insan yang sangat baik dan disenangi oleh masyarakat.
“Saya tertarik dengan kesederhanaan Dato’ Seri Sanusi dan keluarganya, walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar selama empat tahun. Tetapi saya perhatikan kesederhanaan mereka tetap sama.
“Keluarga mereka masih seperti sebelum beliau memegang jawatan tersebut (bersederhana). Di sinilah terletaknya nilai saya kepada keluarga ini termasuk kepada Almarhumah yang melayan kami dengan begitu baik,” kata beliau.
Beliau turut menyampaikan rasa takziah dan mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin.
Tuan Guru juga menyeru kepada keluarga yang ditinggalkan untuk bersabar dan menerima ujian ini dengan redha.
“Saya dan Ahli-ahli Majlis Syura yang lain, seluruh ahli PAS serta pendukung perjuangan Islam mendoakan roh Almarhumah dicucuri rahmat.
“Dan kepada kekuarga terimalah sedikit ujian dari Allah kepada kita, bersabarlah di samping kita meneruskan usaha perjuangan yang telah dijalankan selama ini,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











