
PADANG BESAR: Seramai 40 peserta daripada pelbagai latar belakang menyertai program latihan tanaman Kacip Fatimah anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Perlis.
Program ini diadakan dengan kerjasama Komuniti Banggol Sena, Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Perlis, dan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membangunkan komuniti berasaskan pertanian dan penternakan komersial di kawasan parlimen tersebut.
“Projek seumpama ini mampu membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan bulanan,” katanya selaku penasihat program itu.
Latihan diberikan dalam program ini meliputi pengenalan kepada pokok Kacip Fatimah, cara penanaman yang betul, serta kaedah tuaian bersesuaian.
Para peserta menyatakan kepuasan mereka terhadap ilmu diperoleh dan bersedia untuk mengaplikasikan teknik yang dipelajari dalam komuniti masing-masing.
“Matlamat utama kami adalah untuk membina komuniti yang produktif dalam bidang pertanian, sekaligus meningkatkan kualiti hidup penduduk di Padang Besar.
“Program ini hanyalah permulaan, dan banyak lagi projek komuniti yang akan menyusul selepas ini,” katanya lagi.
Dengan kejayaan program tersebut, Rushdan berharap dapat terus melaksanakan lebih banyak projek yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya dalam bidang pertanian dan penternakan. – HARAKAHDAILY 15/8/2024












