
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, fokus cemerlang adalah kunci untuk mendapat kejayaan.
“Fokus cemerlang adalah kunci untuk berjaya. Jika kita fokus dalam satu perkara, ia dapat memberikan sesuatu hasil yang cemerlang. Fokuskan apa yang kita impikan.
“Melalui fokus yang dilakukan itu, kita pasti akan dapat merasakan bahawa kita menjadi lebih bersemangat,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, hari ini.
Beliau menyatakan demikian susulan merasmikan Majlis Pelancaran Anugerah Inspirasi PIBG SPM 2024 yang diadakan di Dewan SABAS, Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun (SMASID).
Katanya, program itu fokus kepada pelajar SPM 2024 yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.
Beliau seterusnya memberi pesanan kepada pelajar yang bakal menduduki SPM nanti supaya meneruskan usaha melakukan latihan soalan-soalan peperiksaan lepas.
“Teruskan mengulang kaji dan menimba ilmu, sesungguhnya usaha anda akan membuahkan hasil yang berjaya,” katanya.
Wan Hassan berharap semoga para pelajar akan berusaha dengan penuh keyakinan dan keazaman untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada SPM 2024.
“Teruslah melangkah dengan teguh ke hadapan untuk mengejar impian dan cita-cita anda semua.
“Insya-Allah tahun ini sekali lagi PIBG sekolah akan memberi hadiah istimewa, sejumlah wang tunai sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang dapat keputusan yang cemerlang ‘straight A’ dalam peperiksaan SPM 2024,” ujarnya.
Beliau juga berharap mudah-mudahan SMASID menjadi peneraju kepada kecemerlangan pada SPM 2024. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











