
GUA MUSANG: Anak-anak muda masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman Kelantan berharap mereka turut dilibatkan dalam acara sukan dianjur kerajaan negeri.
“Mereka berharap acara sukan termasuk sepak takraw, bola sepak Liga Elit DUN yang dianjurkan kerajaan negeri di bawah Urusetia Belia Sukan (U-BeS) dapat disertai mereka,” kata calon PN PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail.
Kata beliau perkara itu diluah anak-anak muda masyarakat Orang Asli ketika sesi lawatan ke Pos Pasik petang semalam.
Turut hadir bersama rombongan jentera kempen PN Senator Dr Wan Martina Wan Yusof dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.
Baru-baru ini, anggota Exco kerajaan negeri Zamakhsari Muhamad turun padang bermain bola sepak dengan anak muda Orang Asli di Pos Pasik.
Selain itu turut dianjurkan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup DUN Nenggiri bersama masyarakat Orang Asli di gelanggang sepak takraw Kampung Jerek.
Rizwadi juga berkata, anak-anak muda Orang Asli berharap ada peluang kerjaya dianjur kerajaan negeri bagi membantu mereka mencari pekerjaan.
“Turut disuarakan prasarana lebih baik di penempatan Orang Asli terutamanya jalan sering terputus ketika musim tengkujuh.
“Berkenaan kejohanan bola sepak Liga Elit DUN insya-Allah saya akan berbincang dengan U-BeS supaya turut melibatkan belia Orang Asli,” katanya.
Menurutnya juga masyarakat Orang Asli yang ditemui tertarik tawaran calon PN kerana mengutamakan kaum mereka sebagai agenda penting.
Tawaran yang diumumkan baru-baru ini calon PN akan memperkasakan peranan Penghulu Orang Asli bagi menyelaras hal ehwal kebajikan masyarakat terbabit.
Selain itu menubuh Pasukan Khas Pendidikan Orang Asli Nenggiri dan melantik pegawai Pusat Khidmat DUN dalam kalangan penduduk Orang Asli. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











