
KUALA TERENGGANU: Tepat setahun yang lalu, pada 12 Ogos 2023, rakyat negeri Terengganu menyaksikan sejarah terukir dengan kemenangan gemilang 33-0 dalam Pilihan Raya Negeri lalu, termasuk kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Menurut Pesuruhajaya PAS negeri, Senator Dato’ Husain Awang, tarikh itu bukan sekadar angka di kalendar, tetapi lambang perjuangan, pengorbanan dan kepercayaan pengundi yang dibina bersama.
“Setahun telah berlalu, namun kenangan kemenangan ini tetap segar dalam ingatan kita. Ia menjadi bukti bahawa dengan sokongan padu dari semua pengundi dan penyokong PAS, kita mampu menegakkan apa yang kita perjuangkan dengan teguh.
“Kepada semua yang berdiri bersama kami, yang tidak pernah goyah dalam perjuangan ini, terima kasih,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau juga menyeru kepada rakyat untuk terus bergandingan bersama PAS melangkah ke hadapan, terus memperkukuh kekuatan dan komitmen dalam mempertahankan negeri Terengganu yang dicintai ini.
“Teguh Pertahan! Mari kita imbas kembali detik-detik bersejarah ini dan terus bersemangat menatap masa depan yang lebih cerah,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











