
MUAR: Walaupun PAS sinonim dengan program kebajikan, tarbiah dan dakwah, namun isu-isu berkaitan alam sekitar tetap diberi perhatian serius dengan wujudnya Lajnah Pertanian, Keterjaminan Makanan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LPKMASPI).
Pengerusi LPKMASPI Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Zuraida Md Noor berkata, lajnah itu juga berperanan salah satunya untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan alam sekitar yang semakin meruncing dan rencam akhir-akhir ini.
“Program hari ini kita berinteraksi dengan alam, ekosistem dan paya bakau. Kita perlu ‘alert’ dengan alam sekitar dan perubahannya. Ini bertujuan untuk kita sampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Kalau parti kita sinonim dengan program kebajikan, tarbiah dan dakwah, tetapi kita sebenarnya beruntung kerana di sebalik tiga elemen tersebut, kita ada satu lajnah yang mementingkan alam sekitar,” ujar beliau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Terengganu itu berkata demikian sewaktu berucap dalam program ‘Menggenggam Bumi Hijau’ anjuran LPKMASPI DMPM, di sini semalam.
Katanya, lajnah itu juga berperanan dalam menggalak dan mengajar cara untuk bertani, penternakan dan selain membuat program berkaitan alam sekitar.
“Contohnya mengajak Muslimat kita bercucuk tanam di halaman rumah. Di Terengganu program ini dinamakan program Laman Suri. Sayur yang ditanam diagihkan kepada jiran dan masyarakat,” katanya.
Program yang berlangsung selama dua hari itu adalah anjuran bersama Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) dan Pusat Khidmat ADUN Maharani.
Slot pertama program melibatkan program Jom Sihat 1000 Langkah dan edaran ‘flyer’ kepada pengunjung di Tanjung Ketapang yang turut disertai oleh ADUN Maharani, Abd Aziz Talib dan Ketua DMPNJ, Zakiah Tukirin.
Slot kedua pula melibatkan lawatan ke IKS Pembuatan Mee Bandung Mak Pon di Lembah Padang dan Mee Siput Mak Jah Meletop di Parit Raja Darat di mana kedua-duanya adalah produk Bumiputera yang sudah lama dikenali di daerah ini.
Program hari kedua pula bertempat di Impian Agro Farm, Sungai Belukang dengan sesi perkongsian ilmu bersama usahawan, Dr Baharuddin Mohamed @ Coach Bahar yang mengusahakan pertanian dan penternakan di sini.
Antaranya yang diberi adalah sesi kursus pengenalan ternakan ikan talapia, ayam penelur serta lawatan ke tapak ternakan dan ladang.
Program ini turut disertai wakil-wakil Muslimat dari 10 negeri lain seperti Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Perak termasuk wakil dari negeri Johor. – HARAKAHDAILY 11/8/2024













