Exco ucap takziah, perlanggaran bot dengan tongkang

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dr. Azman Ibrahim mengucapkan takziah kepada mangsa tragedi bot karam akibat pelanggaran antara bot nelayan dengan sebuah tongkang dalam kejadian yang berlaku pagi tadi pada jarak kira-kira 7 batu nautika dari Kuala Kemaman.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri itu berkata, kawasan 7 batu nautika dari pantai memang merupakan kawasan aktiviti penangkapan ikan sama ada oleh nelayan atau aktiviti perikanan rekreasi.

“Lebih tepat ia adalah kawasan laut terbuka yang tiada larangan untuk aktiviti penangkapan ikan dan dalam masa yang sama terbuka juga untuk laluan bot atau kapal,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku ketika bot nelayan malang itu sedang berlabuh untuk memancing dan tiba-tiba dilanggar oleh tongkang terbabit.

“Doa kita semoga usaha mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang dipermudahkan Allah dan dikurniakan kesabaran kepada keluarga kepada serta waris mangsa yang meninggal dunia.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat punca sebenar tragedi menyedihkan ini di samping menyeru kepada semua pihak yang melakukan apa sahaja aktiviti di laut agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan serta saling berwaspada dengan situasi di sekeliling,” katanya yang juga ADUN Jabi.

Menurut laporan media, pelanggaran itu berlaku 6.30 pagi tadi menyebabkan Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan Shahril Ismail, 50, ditemukan lemas kira-kira jam 7 pagi dan 1 petang.

Dua lagi mangsa, Yusoff Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25 masih hilang.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa yang hilang itu akan disambung esok.

Operasi yang bermula jam 8.40 pagi ditangguhkan 7 petang tadi kerana cuaca buruk dan laut bergelora. – HARAKAHDAILY 11/8/2024

- Advertisement -