Tuan Guru Awang Lanai kembali ke rahmatullah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, merakamkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah seorang ulama tersohor di Kedah, Tuan Guru Awang Lanai.

- Advertisement -

Tuan Guru Awang Lanai atau nama sebenarnya, Abdul Wahab Hassan dimaklumkan telah menghembus nafas terakhir beliau kira-kira jam 3:00 petang, hari ini.

Allahyarham ketika hayatnya pernah memegang beberapa jawatan, antaranya, Ahli Majlis Daerah Baling dan Yang Dipertua PAS Kawasan Baling serta Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah.

Anak kelahiran Sik ini, membuka pondoknya sendiri yang menerima dan telah mendidik puluhan ribu pelajar iaitu Madrasah Tahzib An-Nufus pada 1988 di Parit Panjang, Baling.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu, Kampung Tupai sehingga tamat sekolah rendah, kemudiannya melanjutkan pelajaran menuntut ilmu agama dari pondok ke pondok .

Beliau pernah menuntut ilmu dengan beberapa guru, antaranya Tuan Guru  Abdul Halim Yaakob  (Pondok Batu 8) selama dua tahun, Tuan Guru Abdullah Tahir (Pondok Bunut Payong) selama setahun dan Tuan Guru Mutholib Puteh, Pondok Penanti, hampir tiga tahun.

Allahyarham juga merupakan anak murid kanan kepada Tuan Guru Omar Zuhdi (Pondok Lanai) dan pernah menuntut ilmu dengannya selama 35 tahun bermula 1959 lagi, serta antara pelajar terawal di pondok tersebut.

Sementara Tuan Guru Jusoh Tobiar, Tuan Guru Bakar Ibrahim dan
Ustaz Taib Azamudden Md Taib merupakan antara rakan seperguruannya.

“Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. – HARAKAHDAILY 10/8/2024

- Advertisement -