Terengganu terus beri air percuma walau royalti disekat

Hanafiah Mat
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd  (SATU) memperuntukkan RM2.5 juta untuk membekalkan air percuma membabitkan 13,922 akaun.

- Advertisement -

Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, ia jelas membuktikan bahawa subsidi bekalan air percuma kepada golongan sasar dan B40 tetap diteruskan meskipun bayaran royalti disekat, lapor portal TRDI.my.

Katanya, masalah royalti bukan penghalang untuk kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial kepada rakyat yang layak walaupun jumlah nilai pemberian air percuma sebenarnya meningkat untuk setiap akaun penerima.

Menurutnya, perkara itu melibatkan 11,782 akaun dengan peruntukan RM1.3 juta bagi premis kediaman golongan B40 yang layak mengikut ketetapan kerajaan negeri.

Tambahnya, semua masjid dengan 956 akaun serta surau sebanyak 1,184 akaun yang berdaftar menerima subsidi bekalan air bersih percuma tanpa had berjumlah RM1.2 juta secara keseluruhan.

“Sementara itu, bagi masjid dan surau yang tidak berdaftar, akan menerima subsidi sebanyak 50 meter padu pertama secara  percuma dan penggunaan selebihnya akan dibayar dengan kadar baharu bagi setiap meter padu,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

ADUN Cukai itu menambah, inisiatif itu merupakan penerusan kepada pelaksanaan manifesto PAS negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang bermula sejak 2019. – HARAKAHDAILY 10/8/2024

- Advertisement -