Mural ‘penyu gergasi’ mengagumkan, nampak ‘real’ – Andansura

- Advertisement -

KUANTAN: “Mengagumkan! Nampak real,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu mengenai mural ‘penyu gergasi’ di Pantai Tanjung Pelindung, dekat sini.

- Advertisement -

“Hasil seni mereka telah mendapat liputan para pengguna media sosial dan pengamal media perdana sehingga menarik kunjungan orang ramai dari dalam dan luar daerah,” ujarnya dalam catatan di laman Facebooknya.

Beliau menyatakan demikian susulan singgah dan melihat ‘penyu gergasi viral’ hasil kreativiti sekumpulan artis seni itu, semalam. (Foto atas)

Menurutnya, lokasi hujung Pantai Pelindung yang sebelum ini sepi menjadi meriah sekelip mata dengan kedatangan para pengunjung susulan mural penyu itu.

“Cuma pesan saya, sama-sama kita menjaga kebersihan tempat ini dan menjaga ketenteraman penduduk berdekatan,” katanya lagi.

Beliau juga mengharapkan agensi yang bertanggungjawab boleh berperanan sebagai pemudah cara bagi menguruskan tempat itu dengan baik serta menyediakan kemudahan-kemudahan yang berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan, empat pelukis tidak menyangka mural penyu itu menjadi daya tarikan baharu di pantai berkenaan.

Dikenali sebagai ‘Project ZeroSix’, projek mural diketuai Amir Faruk, Kamal Idris, Azri Azahar dan Muhd Ikmal Manan mengambil tempoh selama lima hari untuk disiapkan pada 16 Julai lalu.

Rata-rata pengunjung memuji kreativiti pelukis mural yang dilihat berjaya mengubah batu yang terdapat di pantai itu menjadi seperti seekor penyu gergasi yang terdampar.

Sehubungan itu, Andansura mengucapkan tahniah kepada para pelukis mural penyu berkenaan pada batu sepanjang 20 meter dan tinggi 10 meter.

“Kepada artis seni yang berkenaan, tahniah atas hasil kerja yang sangat baik ini.

“Tahniah juga kerana memanfaatkan bakat anugerah Allah yang saya rasa telah membawa kebaikan kepada banyak pihak dari pelbagai sudut. Saya tumpang bangga,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/8/2024

- Advertisement -