
KUALA TERENGGANU: Komuniti Koperasi Kampung Tebakang, Marang dengan semangat Kerjasama berkumpul di ladang untuk menjalankan aktiviti penuaian tanaman sorghum, baru-baru ini.
Pengerusinya, Senator Hussin Ismail, aktiviti itu merupakan salah satu daripada inisiatif pertanian bersepadu yang diusahakan oleh koperasi dalam usaha meningkatkan ekonomi dan ketahanan makanan komuniti.
Katanya, sorghum adalah tanaman yang tahan lasak dan mampu bertahan dalam cuaca ekstrem, menjadikannya pilihan yang ideal bagi projek pertanian di Kampung Tebakang.
Menurutnya, tanaman itu bukan sahaja menyediakan sumber makanan yang bernutrisi tinggi tetapi juga boleh dijual untuk menambah pendapatan komuniti.
“Dengan mengusahakan tanaman seperti sorghum, koperasi dapat menjamin sumber makanan yang stabil dan berdaya tahan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar,” ujarnya menerusi satu catatan di laman sosialnya.
Tambahnya, melalui aktiviti-aktiviti seperti penuaian sorghum itu, Koperasi Kampung Terbakang menunjukkan komitmen mereka dalam mencapai visi sebagai ‘Koperasi Karya Masjid Terbaik Malaysia Menjelang 2030’.
Belaiu berkata, dengan usaha berterusan dan sokongan daripada semua pihak, tidak mustahil komuniti ini akan terus maju dan berkembang, memberikan contoh terbaik bagaimana koperasi boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
“Dengan semangat gotong-royong dan kerjasama yang ditunjukkan dalam aktiviti penuaian ini, Kampung Tebakang bukan sahaja mengukuhkan ketahanan makanan mereka, tetapi juga memupuk hubungan kekeluargaan dan komuniti yang erat.
“Semoga usaha ini terus diberkati dan memberikan manfaat kepada semua ahli koperasi,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2024












