
KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersedia menawarkan kepakaran dan pengalaman dalam memperkemaskan pengurusan halal di Namibia, sebuah negara yang semakin giat mengembangkan industri tersebut.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu kenyataan media hari ini bertitah, usaha itu penting untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk halal dari Namibia.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin mengetuai delegasi MAIPs dalam lawatan ke Pusat Abatoir Meatco di Windhoek, Namibia.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada program Safar Ilmi MAIPs, yang turut disertai oleh anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.
Delegasi disambut oleh Pengurus Sementara Operasi Meatco, Marcella Somaes dan Penyelia Halal, Uthman Klausv Van Niel.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin, lawatan bertujuan membincangkan beberapa elemen penting berkaitan pengurusan halal, termasuk kriteria halal, kaedah penyembelihan serta cadangan mewujudkan penyeragaman organisasi halal yang berautoriti di Namibia.
Baginda turut menekankan kepentingan memastikan bahawa produk daging yang dihasilkan mematuhi aspek syariah berkaitan halal dan memenuhi standard kualiti toyyiban.
“Perkara ini turut dibincangkan dalam pertemuan bersama Naib Presiden Republik Namibia, Netumbo Nandi-Ndaithwah, dan Menteri Hal Ehwal Presiden Namibia, Christine Hoebes, di mana kerjasama dua hala antara Perlis dan Namibia menjadi topik utama,” titah baginda.
Turut serta Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dan Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Juga bersama adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Untuk rekod, Meatco sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Namibia yang ditubuhkan sejak 1994, telah mematuhi pelbagai standard antarabangsa termasuk ISO 9002, HACCP 1033:2007, dan South African Bureau of Standards (SABS).
Dengan kerjasama itu, MAIPs berharap dapat memperkukuh pengurusan halal di Namibia, seterusnya meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk halal dari negara tersebut.
MAIPs berharap usaha itu nanti sekali gus membuka peluang baru dalam pasaran halal global. – HARAKAHDAILY 10/8/2024











