
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperoleh keseluruhan dana penyelidikan sebanyak RM8.3 juta kepada para penyelidiknya, maklum Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli.
Menurut beliau, sehingga Julai 2024, sebanyak 118 geran dengan jumlah keseluruhan RM8.3 juta telah berjaya diperoleh, termasuk geran universiti, geran kebangsaan, geran industri dan geran antarabangsa.
Beliau menekankan peningkatan ketara dalam pemerolehan dana antarabangsa di mana 11 penyelidik UniMAP telah berjaya mendapatkan geran penyelidikan yang ditawarkan badan atau institusi antarabangsa.
Katanya, institusi berkenaan termasuk International Polyurethane Technology Foundation Japan, DT Global International Development UK, IEEE, The Academy of Medical Sciences, UK Royal Society of Chemistry (RSC) dan Pukyong National University.
Juga South Korea, MyPAiR International Science Partnerships Fund (ISPF): Use of The ISIS Neutron & Muon Source, UK 2024 dan The France-Malaysia Collaboration Programme or Joint Research 2024 (MyTIGER).
“Sebanyak enam projek penyelidikan yang melibatkan aktiviti pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti telah diberikan melalui Geran Projek Komuniti Tertumpu UniMAP for Society @ Perlis.
“Selain beberapa lagi projek penyelidikan yang dibiayai di bawah skim geran International Research Fund (INTERES), geran penyelidikan khas, dan Collaborative Research Grant (CRG),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan dan Penyerahan Geran Penyelidikan 2024 di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, di sini kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP, Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Juga Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof Madya Dr Naimah Ibrahim.
Tambah Zaliman, penyelidik-penyelidik UniMAP juga berjaya memperoleh dana penyelidikan daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan berkaitan melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS).
Selain Geran Sumbangan Suruhanjaya UNESCO Malaysia (SKUM GSS), Short Term Grant (STG) Faizuddin Centre of Educational Excellence (FcoEE) serta Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI daripada Kementerian Kewangan.
“Pada tahun ini, UniMAP telah berjaya memperoleh sebanyak 40 projek FRGS dengan jumlah dana sebanyak RM4.7 juta dan tiga projek PRGS dengan nilai dana RM511,060.
“Di samping itu, seramai sembilan orang penyelidik UniMAP juga telah memperoleh dana geran penyelidikan daripada beberapa industri dan syarikat swasta tanpa dana padanan iaitu Intel Electronics Sdn Bhd.
“(Termasuk) Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), GKK Consultans, Wide Agro Ventures Sdn Bhd, dan Raf Technologies,” ujarnya lagi
Sempena majlis berkenaan, beliau turut melancarkan simbolik perasmian Galeri Maya Penyelidikan & Inovasi yang dibangunkan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), dan RMC.
Dalam majlis sama, turut diraikan Pendaftaran UniMAP dengan Malaysia Board of Technologists (MBOT) sebagai Approved Training Provider (ATP) di mana mulai Ogos 2024.
UniMAP dibenarkan menjalankan program yang boleh membawa jam kredit Continuing Professional Development kepada Ahli Teknologi Profesional (Ts.) dan Juruteknik Bertauliah (Tc.) dengan permohonan CPD hours itu boleh dibuat secara percuma daripada MBOT. – HARAKAHDAILY 8/8/2024













