Kelantan bangunkan 3,332.92 hektar tanah terbiar

- Advertisement -

PASIR MAS: Sebanyak 3,332.92 hektar tanah terbiar di Kelantan telah dibangunkan dengan jumlah peruntukan keseluruhan lebih RM26 juta bermula tahun 2006 hingga 2023.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, peruntukan RM26 juta itu, RM12.6 juta daripadanya dana kerajaan negeri dan RM13.74 pula daripada kerajaan Persekutuan.

“Menurutnya, rekod berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian negeri,” katanya ketika merasmikan Ekspo Tani Negeri Kelantan Tahun 2024 di Dataran Bandar Baharu Pasir Mas, di sini petang tadi.

Turut berucap, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail. Hadir sama pada majlis tersebut, Exco Kerajaan negeri, Zamakhshari Muhamad dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Mohd Fadhli Shaari.

Nassuruddin turut memberitahu, bagi meningkatkan hasil pertanian, kerajaan negeri sentiasa berusaha membangunkan serta mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar bagi tujuan sektor pertanian.

“Kerana itu, kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama dengan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membangunkan sektor pertanian negeri Kelantan.

“Alhamdulillah, pada tahun 2024 ini, sebanyak 11 projek kerjasama antara kerajaan negeri dan KPKM bagi mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian dengan peruntukan RM8.174 juta,” katanya.

Menurutnya, perntukan itu telah diluluskan oleh KPKM dan sedang dilaksanakan di negeri ini.

Sehubungan itu beliau mengharapkan Program Ekspo Tani dan seumpamanya dapat diteruskan dan diperhebatkan lagi pada tahun mendatang agar dapat menyemai semangat kebersamaan dan memupuk keharmonian di antara pihak Kerajaan, pemain sektor pertanian dan orang awam.

“Ia dapat memberi pendedahan umum terutama golongan muda terhadap sektor pertanian sesuai dengan tema penganjuran Ekspo Tani pada tahun ini ‘Bertani Satu Ibadah – Transformasi Tani, Masa Hadapan Harmoni’,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -