SUKMA 2024: ‘Jagalah akhlak, adab apabila berada di sana’

Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Setiap perkara yang kita buat niatlah perkara itu kerana Allah, pasti ia akan ada ganjaran buat hamba-Nya,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli.

- Advertisement -

Beliau mengingatkan demikian kepada para atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 Negeri Terengganu, semasa mengisi slot kuliah Maghrib, kelmarin.

“Pesanan yang sempat saya titipkan adalah kita sebagai atlet Terengganu jagalah akhlak dan adab apabila berada di sana,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan para atlet itu agar pamerkan bahawa rakyat Terengganu seorang yang tinggi nilai murninya.

Menerusi hantaran di laman sosialnya, Mohd Fadhli yakin mereka mampu melaksanakan semua itu.

“Bermain bersungguh-sungguh demi kejuaraan negeri kita,” katanya yang juga ADUN Rantau Abang.

Beliau yakin dan percaya bahawa para atlet mampu membawa nama Terengganu sebagai juara pada kali ini.

“Semoga kalian semua dianugerahkan kemenangan dan dipermudahkan segala urusan insya-Allah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap atlet negeri yang ditampilkan dapat meraih75 pingat emas yang disasarkan untuk muncul juara.

Beliau optimis atlet ditampilkan dalam SUKMA Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini dapat mengembalikan semula kemenangan yang kali terakhir dirangkul pada 2018 di Perak.

Kontinjen negeri kali ini adalah seramai 1,076 orang merangkumi atlet, pengurus dan jurulatih yang akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan dipertandingkan. – HARAKAHDAILY 8/8/2024

- Advertisement -